IPOH – Pemilik sebuah syarikat perancang perkahwinan memberi tempoh tujuh hari kepada pengendali akaun Facebook dan Twitter bernama Nazihah Azizul dan @Mulut_Cabai untuk membuat permohonan maaf dan memadam hantaran mengenai dakwaan bahawa perkhidmatan ditawarkan mereka adalah teruk.
Pemilik Ayu Wedding Planner and Catering, Azuan Abdul Khair menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berunsur fitnah yang dilemparkan oleh kakak kepada pelanggannya melalui laman Twitter, Facebook dan Instagram.
Ekoran hantaran itu, Azuan berkata, reputasi syarikatnya terjejas dan ramai pelanggan yang membatalkan hasrat untuk menempah khidmatnya bagi melangsungkan perkahwinan pada tahun ini dan tahun hadapan.
“Ramai yang buat pertimbangan untuk batalkan majlis mereka pada tahun ini dan tahun hadapan. Pelanggan yang membatalkan tempahan adalah mereka yang mahu melangsungkan perkahwinan pada bulan September hingga Mac tahun hadapan,” katanya.
Menurutnya, dia telah membuat laporan polis pada 7 dan 8 Julai lalu dengan tujuan untuk membersihkan namanya dan nama syarikatnya.
“Saya telah melantik peguam untuk mengkaji kes ini dari segi undang-undang.
“Selama 15 tahun ini kali pertama pekara sebegini terjadi, saya yakin individu yang membuat hantaran di Facebook, Instagram dan Twitter itu bukan pelanggan saya,” katanya.
Peguam syarikat terbabit, Syakira Khair, dia dan tiga lagi peguam telah dilantik untuk mengkaji tindakan undang-undang berhubung dakwaan Ayu Wedding Planner tidak bertanggungjawab atas perkhidmatan yang diberikan. – KOSMO! ONLINE