fbpx

Ali Puteh kecewa ditipu sebagai duta syarikat pembekal ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALI Puteh sanggup menolak beberapa tawaran lain yang bernilai puluhan ribu demi memberi komitmen kepada tugasnya sebagai duta sebuah syarikat pembekal ayam.

PETALING JAYA – Pelawak Ali Puteh kecewa dan rasa tertipu apabila dia tidak menerima sebarang bayaran yang dijanjikan sejak dilantik menjadi duta sebuah syarikat pembekal ayam pada April lalu.

Malah, Ali, 33, sanggup menolak beberapa tawaran lain yang bernilai puluhan ribu demi memberi komitmen kepada tugasnya sebagai duta.

“Sedih sebab saya lepaskan banyak tawaran lain untuk fokus pada peluang ini dan saya ada tanggungjawab serta tanggungan.

“Saya terima dan saya percaya ada hikmah cuma saya perlu tampil untuk membuat penjelasan berhubung hal ini.

“Saya enggan masalah timbul dan nama saya terkait apabila syarikat ini membuat urus niaga. Saya tidak mahu ada pihak lain jadi mangsa,” katanya.

Ali berkata, dia juga mempunyai kontrak sah dengan syarikat berkenaan dan sudah beberapa kali cuba mendapatkan penjelasan namun tiada jalan penyelesaian.

Oleh sebab itu Ali memberitahu, dia tidak lagi terlibat dengan sebarang urusan syarikat pembekal ayam berkenaan.

Keputusan itu dibuat kerana enggan namanya dikaitkan dengan syarikat tersebut terutamanya membabitkan hal bekalan ayam kepada peniaga dan pembeli.

“Saya tidak mahu ada pihak yang berdepan dengan masalah apabila berurusan dengan syarikat pembekal tersebut selepas beberapa isu timbul.

“Jujurnya saya juga kecewa dengan apa yang terjadi apabila perjanjian antara saya dengan syarikat berkenaan tidak berjalan seperti yang dirancang,” katanya.

Tambah Ali, dia menerima tawaran untuk menjadi duta syarikat tersebut kerana melihat peluang untuk menjana pendapatan.

“Saya terima tawaran kerana diperkenalkan oleh seorang kawan yang memang saya kenal dan peluang perniagaan turut ditawarkan pada saya.

“Saya melihat tawaran tersebut sebagai satu peluang terbaik untuk menjana pendapatan lebih stabil tetapi perkara lain yang timbul,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI