CYBERJAYA – Al Ansar IBS PLT (Al Ansar) mengunjurkan jualan untuk dua kempen yang sedang berlangsung sehingga 22 September ini bakal menjana hasil sebanyak RM8 juta.
Pengerusi Eksekutif Al Ansar IBS PLT, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berkata, melalui kempen Promosi Merdeka Bina Banglo IBS d Promosi Merdeka Sabah yang diadakan serentak, syarikat dijangka membina sehingga 35 unit banglo.
“Sebanyak 15 unit banglo dengan jualan RM3 juta dijangka diperoleh daripada kempen Promosi Merdeka Bina Banglo IBS di Semenanjung, manakala 20 unit banglo bernilai RM5 juta lagi dijana daripada jualan di Sabah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Selain itu, Pengurus Besar Al Ansar, Mohd. Farizal Tumiran berkata, sepanjang promosi tersebut, Al Ansar menawarkan harga kediaman di bawah RM200,000 sebuah selepas diberikan potongan harga sebanyak lapan hingga 10 peratus.
“Terdapat beberapa kategori kediaman dan antaranya adalah jenis Melur yang mempunyai tiga bilik tidur dan satu bilik air yang sesuai untuk golongan pertama kali membina kediaman.
“Mereka akan diberikan lampu, kipas secara percuma di setiap ruang di samping kabinet dapur,” jelasnya
Reka bentuk lain yang ditawarkan pada harga istimewa adalah kategori Ria Indah yang menawarkan kediaman dengan tiga bilik tidur dan satu bilik air pada harga RM165,000 berbanding harga asalnya RM172,000.
“Reka bentuk banglo ini menggunakan batalego dan berbumbungkan atap gajah yang diakui oleh pemaju perumahan IBS lain, antara yang terbaik kerana suhu dalam kediaman yang sejuk, pembinaan yang pantas dan kurang tenaga pekerja,” terangnya.
Tambah Mohd. Farizal, koleksi Teratai menawarkan kediaman yang lebih luas dengan tiga bilik tidur serta dua bilik air pada harga RM172,000 berbanding harga asal RM181,000.
Selain itu, Al Ansar turut menawarkan reka bentuk Alamanda yang mempunyai empat bilik tidur dan dua bilik air pada harga RM250,000 berbanding harga RM263,000 sebelum ini.
Kediaman jenis Mallow pula memiliki lima bilik tidur dan empat bilik air yang menawarkan harga RM400,000 tetapi sepanjang promosi harga yang ditawarkan adalah serendah RM385,000. -KOSMO!ONLINE