MELAKA – Syarikat elektronik Jepun, TKR Manufacturing (Malaysia) Sdn. Bhd. (TKR Manufacturing) yang meraih pendapatan sebanyak RM340 juta setahun akan meluaskan pelaburan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Ab. Rauf Yusoh berkata, syarikat itu yang sudah bertapak selama 34 tahun di kawasan Perindustrian Tangga Batu di sini berhasrat menjadikan negeri ini sebagai destinasi utama pelaburan.
Katanya, syarikat itu akan meneruskan pelaburan dengan pembinaan kilang baharu bagi meningkatkan jumlah pengeluaran produk elektronik sedia ada.
“Syarikat berkenaan berjaya memperoleh pendapatan RM360 juta setahun dan merancang menambah produk pengeluaran sedia ada selepas mendapat kepercayaan daripada jenama-jenama besar.
“Yang pasti menerusi pelaburan itu mereka akan membuka kilang baharu dan turut menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri ini khususnya di Tangga Batu,” katanya selepas mengiringi Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam mengadakan lawatan kerja di kilang tersebut di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ab. Rauf berkata, dengan tempoh lebih tiga dekad berada di negeri ini, TKR Manufacturing secara tidak langsung telah membuktikan kestabilan pendapatan dan berdaya maju.
Katanya, syarikat tersebut juga sedang menuju ke arah Revolusi Industri 4.0 dengan mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran pekerja tempatan.-KOSMO! ONLINE