fbpx

sooka sajikan komedi gelak ketawa Hantu Raya Pergi Perang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hantu Raya Pergi Perang

APLIKASI penstriman hiburan tempatan sooka telah mencuit hati penonton dengan tayangan Siri Original keduanya berjudul Hantu Raya Pergi Perang yang telah bersiaran bermula 24 Jun lalu.

Siri komedi-seram yang diarahkan oleh pengarah adik beradik, Wan Hasliza dan Wan Alak itu dibintangi  para pelakon popular seperti Hun Haqeem, Sharifah Sakinah, Rashidi Ishak, Iman Corinne, Haidar Hasanudin dan Allahyarham Adibah Noor.

Menariknya, siri sebanyak lapan episod itu mengetengahkan kisah masyarakat kampung yang masih berpegang kuat dengan kepercayaan kisah legenda hantu dan cerita rakyat di Malaysia.

Menurut Wan Hasliza, idea menghasilkan siri Hantu Raya Pergi Perang bermula dengan borak-borak kosong bersama produksi KL Motion, sebelum idea itu dikembangkan menjadi sebuah naskah bersiri.

“Kami bayangkan situasi peperangan ketika zaman Jepun, namun suasananya dibuat pada zaman moden berlatarbelakangkan sebuah perkampungan terpencil.

“Kampung tersebut masih mengekalkan kehidupan tradisional yang masih terikat dengan peraturan mereka sendiri,” katanya.

Memulakan penggambaran seminggu sebelum Ramadan lalu, proses penggambaran yang dijalankan di sebuah perkampungan di Labu, Negeri Sembilan dan di beberapa kawasan perkampungan Orang Asli itu juga tidak terlepas daripada berdepan dengan beberapa cabaran.

Kata Wan Hasliza, antara cabarannya adalah berpuasa dengan keadaan cuaca panas sehingga ada beberapa krew terkena strok haba.

“Bagaimanapun, kami semua gembira dan bersyukur penggambaran berjalan lancar,” ujarnya.

Ketika disoal tentang pemilihan para pelakon untuk membintangi siri Hantu Raya Pergi Perang, Wan Alak memberitahu produksi memerlukan pelakon versatil yang boleh membawakan watak komedi seperti pelakon utamanya, Hun Haqeem.

Pemilihan pelakon tampan itu juga dilihat tepat kerana berjaya membawakan wataknya sebagai Kadir dengan begitu baik.

“Kami pernah bekerjasama dengan Hun Haqeem menerusi sebuah drama bersiri sebelum ini dan memang tidak boleh di nafikan bahawa dia sememangnya seorang yang kelakar.

 “Pelakon-pelakon lain juga sangat memberi kerjasama dan kami semua seronok sepanjang menjalankan penggambaran,” jelasnya.

Menyentuh sedikit tentang pengalaman bekerjasama buat kali terakhir dengan pelakon, penyanyi dan juga pengacara berkaliber, Allahyarhamah Adibah Noor, Wan Hasliza dan Wan Alak sebak dan terharu dengan komitmen yang diberikan arwah ketika itu walaupun dirinya sedang menderita melawan penyakit kanser ovari tahap empat.

Ujar Wan Alak, peluang dapat bekerjasama dengan arwah Adibah Noor akan menjadi antara kenangan indah yang tidak akan dapat dilupakan.

“Arwah sempat turun ke set penggambaran selama dua hari dan dia nampak begitu teruja dan bersemangat untuk bekerja.

“Malah arwah juga sudah menghafal skripnya. Adibah ada memaklumkan dirinya sakit, cuma dia tidak memaklumkan sakitnya yang sebenar,” katanya.

Bagi Hun Haqeem pula, sebab utama dia bersetuju untuk berlakon dalam siri Hantu Raya Pergi Perang adalah kerana pengarahnya.

Kata Hun Haqeem, orang-orang yang pernah bekerja dengan Wan Hasliza dan Wan Alak akan tahu betapa seronoknya bekerjasama dengan kedua-dua beradik itu.

“Sebab utama saya bersetuju kerana Wan Hasliza dan Wan Alak. Orang-orang yang pernah bekerja dengan mereka akan tahu sebabnya,” ujar Hun Haqeem.

Bercerita tentang cabaran membawakan watak sebagai Kadir, Hun Haqeem mengakui terdapat beberapa cabaran yang perlu dilaluinya memandangkan dia perlu memegang dua watak dalam siri tersebut.

Kata pelakon berusia 24 tahun itu, selain berlakon dalam keadaan cuaca panas, dia juga perlu memakai sut yang sangat berat untuk membawakan watak Kadir.

“Karakter yang diberikan kepada saya sangat mencabar kerana perlu memainkan dua watak berbeza. Selain memakai sut yang berat, cuaca panas juga mencabar karakter yang saya bawakan.

“Kami perlu memakai krim pelindung sinaran matahari (sunblock) dengan banyak kerana kulit akan terbakar. Apa-apa pun, saya pasti penonton akan terhibur dengan siri Hantu Raya Pergi Perang,” katanya.

Hantu Raya Pergi Perang mengisahkan tentang Kadir, iaitu seorang penduduk Kampung Geliga yang membuat keputusan untuk mendapatkan hantu raya dari Pawangis lakonan Iman Corinne bertujuan untuk mengorat cinta hatinya Manisah yang dilakonkan oleh Sharifah Sakinah.

Diterbitkan melalui usaha sama dengan syarikat produksi tempatan, KL Motion, siri ini merupakan kandungan premium di bawah pelan sooka VIP Entertainment dan lapan episodnya ditayangkan secara eksklusif di sooka.

Menariknya, pelanggan sooka boleh menonton satu episod secara percuma bermula pada 24 Jun 2022 pada setiap hari Jumaat secara eksklusif di platform penstriman aplikasi sooka yang menawarkan pelan VIP Entertainment (RM15.90/sebulan), VIP+Sports (RM41.90/sebulan dan pelan VIP TV yang kini ditawarkan pada harga serendah RM42.50 sebulan.  

Tawaran pelan sooka VIP TV juga adalah melalui dengan jenama Samsung, LG, Sharp dan Sony di mana pengguna boleh memuat turun aplikasi sooka melalui model televisyen pintar (smart TV) terpilih daripada jenama-jenama tersebut.

sooka juga menawarkan promosi berterusan VIP TV dengan harga *serendah RM42.50 sebulan bagi setiap pembelian melalui laman web, yang akan berakhir pada 31 Julai 2022, di mana pelanggan baru dapat menikmati potongan harga 50%untuk langganan pelan sooka VIP TV.

Langganan pelan sooka VIP TV ini turut membuka akses kepada semua kandungan premium di bawah pelan VIP+Sports dan VIP Entertainment, untuk tontonan serentak satu Smart TV serta dua log masuk peranti mudah alih. Semua pelan langganan sooka tidak terikat dengan kontrak dan tanpa komitmen. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI