DUNGUN – Kehilangan seorang nelayan sejak awal bulan ini terjawab apabila mayatnya ditemui di dalam parit berhampiran rumahnya di Kampung Rajawali di sini kelmarin.
Mangsa, Mohd. Azizul Hafiz Abdullah, 42, dipercayai terlibat dalam kemalangan berikutan penemuan motosikalnya jenis Honda Dash berdekatan mayat lelaki itu pada pukul 3 petang.
Adik mangsa, Ahmad Zulnasri, 40, berkata, kali terakhir abangnya dapat dihubungi keluarga pada 1 Julai lalu.
Si mati masih bujang dan tinggal seorang diri di Kampung Rajawali.
“Sehari sebelum hilang, arwah abang pulang ke kampung menjenguk ibu di Pulau Serai.
“Semasa pertemuan itu, dia mengadu demam dan sakit kepala sebelum pulang ke rumahnya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut Ahmad Zulnasri, keluarga yang bimbang dengan kehilangan abangnya telah melakukan pelbagai usaha termasuk mencari lelaki itu hingga ke pekan Paka sebelum membuat laporan polis pada 5 Julai lalu.
“Sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini bagaikan tidak sempurna tanpa kehadiran abang. Rupa-rupanya dia terjatuh ke dalam parit sewaktu menunggang motosikal tidak jauh dari rumahnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah memberitahu, mayat Mohd. Azizul Hafiz dijumpai terbaring di dalam parit oleh beberapa penduduk kampung.
“Berdasarkan keadaan motosikalnya, kita percaya mangsa terlibat dalam kemalangan sebelum meninggal dunia. Mayatnya dihantar ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.