fbpx

Ribuan penduduk Haiti terkandas tanpa air, makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk Haiti melancarkan tunjuk perasaan bagi membantah peningkatan harga barangan di Port-au-Prince pada 13 Julai lalu. – AFP

PORT-AU-PRINCE, HAITI – Beribu-ribu penduduk di ibu negara Haiti, Port-au-Prince terkandas tanpa bekalan air, makanan atau barangan keperluan lain akibat pertempuran berterusan antara kumpulan-kumpulan penjenayah, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

Penduduk di kejiranan Cite Soleil hidup terasing disebabkan pertempuran untuk merebut kuasa dan mengawal bandar tersebut, kata Datuk Bandar Cite Soleil, Joel Janeus.

“Situasi di sini amat kritikal dan semakin buruk hari demi hari. Seramai 52 orang meninggal dunia dan 110 lagi cedera.

“Kumpulan-kumpulan penjenayah tersebut saling berbalas tembakan selama hampir seminggu dan mereka masih mempunyai bekalan peluru.

“Saya mendesak kerajaan agar segera campur tangan sebelum lebih ramai penduduk meninggal dunia dan ribuan lagi terkandas dengan ketiadaan makanan dan air,” kata Janeus sambil menambah bahawa beliau sendiri sedang bersembunyi.

Kumpulan kemanusiaan perubatan, Medecins Sans Frontieres (MSF) awal minggu ini memberi amaran bahawa nyawa penduduk kini dalam bahaya ekoran sukar  mendapatkan bantuan penting termasuk air di sebuah kawasan di Cite Soleil yang digelar Brooklyn.

“Kami menemui banyak mayat yang telah mereput dan hangus.

“Mereka berkemungkinan ialah mangsa  yang terbunuh dalam pertempuran atau  cuba menyelamatkan diri. Sukar untuk menganggarkan berapa ramai yang telah terbunuh,” kata ketua misi MSF, Mumuza Muhindo dalam satu kenyataan akhbar.

Penduduk Haiti  mengalami kesengsaraan akibat siri keganasan yang berlarutan selama bertahun-tahun.

Selepas bekas Presiden, Jovenel Moise dibunuh pada Julai tahun lalu, penggantinya, Ariel Henry berikrar untuk meningkatkan keselamatan.

Namun, aktiviti penculikan dan keganasan terus berlaku di negara rantau Caribbean itu. – Agensi  

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI