KUALA LUMPUR – Polis menahan pengasas bersama Kelab Komedi Crackhouse hari ini bagi membantu siasatan berhubung insiden seorang wanita didakwa menghina agama Islam dalam satu persembahan komedi di sebuah kelab di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) baru-baru ini.
Sumber memaklumkan, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.30 tengah hari di sebuah lokasi di ibu negara dan dia kini ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini.
“Difahamkan lelaki berkenaan akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman oleh pihak polis pagi esok.
“Tangkapan dan siasatan dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” ujarnya.
Difahamkan, penahanan ke atas lelaki tersebut dibuat susulan beberapa laporan polis yang dibuat terhadapnya.
Sementara itu, pihak Bukit Aman dijangka akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi dalam masa terdekat.
Terdahulu, tular video berdurasi 54 saat memaparkan seorang wanita berpakaian sopan menanggalkan tudung dan pakaian ketika membuat persembahan stand up comedy (komedi solo) di sebuah kelab di TTDI, Kuala Lumpur, di sini.
Susulan insiden berkenaan, wanita berusia 28 tahun itu ditahan di Jalan Gasing, Petaling Jaya pada 9 Julai lalu manakala teman lelakinya turut ditahan pada 10 Julai.
Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Yusuf Azmi berkata, dia mahu bertemu dengan pemilik kelab komedi yang terkait dengan isu seorang wanita didakwa menghina Islam, bagi membuat permohonan maaf secara terbuka. – KOSMO! ONLINE