fbpx

Pendaftaran produk ubatan berasas ganja tahun hadapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengumumkan rangka kerja berhubung pendaftaran produk perubatan mengandungi kanabis atau ganja dikenali sebagai cannabidiol (CBD) tertentu yang dijangka dilaksanakan tahun hadapan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, rangka kerja yang akan diumumkan tahun ini tersebut melibatkan kajian secara sains mengenai penggunaan CBD dalam sektor kesihatan awam pada tahun hadapan.

“Kementerian komited berdasarkan bukti dan sains jadi, dalam erti kata lain jika sains menunjukkan arah tertentu, kita tidak boleh mengelak.

“Saya akan umumkan tidak lama lagi mengenai rangka kerja yang mana kita akan mendaftarkan beberapa produk CBD bermula tahun hadapan,” jelasnya selepas Majlis Pelancaran The Centre’s Drug Perception Study Report di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia tidak terburu-buru untuk turut sama mengikut langkah Thailand yang mengeluarkan ganja daripada senarai dadah sekaligus membuka ruang kepada penanaman tumbuhan itu.

“Untuk tanam itu jauh lagi, soal penanaman ini kita tengok dulu, kita buat secara berperingkat-peringkat. Langkah kita berhati-hati, pertama kita daftar beberapa produk CBD, kita tengok penerimaan doktor dan pesakit.

“Selepas itu kalau penerimaannya tinggi, selamat dan berkesan, barulah kita boleh memikirkan soal penanaman, ramai hantar kertas kerja nak buat ladang ganja dan sebagainya, tapi kita belum sampai tahap itu lagi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI