KOTA BHARU – Sepasang kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dengan parang di kawasan tanah perkuburan lama di Kampung Gondang, Ketereh dekat sini, dua bulan lalu.
Tertuduh, Maizatul Shima Abdullah, 21 dan teman lelakinya, Muhammad Zaim Syakir Shaari, 20, hanya mengangguk faham dan tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.
Mengikut pertuduhan, kedua-kedua tertuduh didakwa secara bersama-sama dengan niat melakukan kesalahan bunuh sehingga menyebabkan kematian Muhamad Fahmi Adli Mat, 24, dengan menetak tubuh badan mangsa menggunakan parang.
Kesalahan itu dilakukan oleh mereka di kawasan perkuburan Islam lama di Kampung Gondang, Ketereh kira-kira pukul 10 malam pada 14 Mei hingga pukul 1 pagi pada 15 Mei lalu.
Maizatul Shima dan Muhammad Zaim didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Yusnaliza Mohammad Yusoff manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 26 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan forensik.
Media sebelum ini melaporkan, mayat seorang lelaki yang memakai baju-T berwarna hitam dan berseluar jean biru lusuh ditemui terapung di Sungai Kelantan berhampiran Pusat Operasi Sukarelawan Perikanan, Pengkalan Pasir Pekan dekat Tumpat pada 18 Mei lalu.
Mayat tanpa sebarang identiti itu dijumpai pada pukul 5 petang sejauh kira-kira 200 meter pusat operasi tersebut dan dipercayai sudah lebih 24 jam berada di dalam sungai berkenaan. – KOSMO! ONLINE