KUALA LUMPUR – Pak John Steambot & BBQ (Pak John) berhasrat membuka lima cawangan baharu tahun depan sebagai usaha meluaskan penguasaan pasaran sambil menjamu lebih ramai pelanggan.
Pengarah Urusannya, CS Chong berkata, inisiatif syarikat pada tahun depan adalah untuk meneroka pasaran di luar Lembah Klang dengan membuka cawangan baharu di bandar-bandar utama seperti di Johor buat permulaan.
“Untuk separuh tahun kedua 2022, kami sedang merangka pelan pengembangan ke Shah Alam,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan restoran baharu Pak John di Great Eastern Mall, di sini baru-baru ini.
Restoran itu dibuka di bawah pengurusan usahawan baharu, Chen Hong Yee di bawah konsep francais.
Menurut Chong, restoran baharu Pak John itu menawarkan dapur memasak stimbot dan gril daging tanpa asap.
Binaan dapur dalam meja yang dilengkapi penapis udara untuk meresap minyak dan asap menjadikan persekitaran lebih bersih, selain mengurangkan risiko percikan minyak ketika membakar daging. -KOSMO! ONLINE