fbpx

Lima jenis cerai popular di Mahkamah Syariah, golongan wanita kena tahu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Golongan wanita perlu ambil tahu lima jenis cerai popular di Mahkamah Syariah sebagai pengetahuan kepada mereka, seperti dikongsikan oleh seorang peguam syarie ini.

Menerusi perkongsian Fahmi Ramli, jenis cerai popular yang pertama ialah cerai seksyen 47 iaitu cerai persetujuan bersama atau secara baik.

“Suami memang ada kuasa untuk lafaz cerai, tapi mesti dengan kebenaran hakim. Kalau tidak, kena denda nanti.

“Isteri boleh failkan, suami pun boleh failkan. Masalahnya, kalau suami tidak bersetuju untuk lafaz cerai, maka seksyen ini tidak boleh dipakai,” katanya pada hantaran Facebook.

Beliau berkata, seterusnya ialah pengesahan lafaz cerai iaitu apabila suami melafazkan cerai di luar mahkamah, jadi pengesahan tersebut perlu dibuat di mahkamah.

“Kalau anda dapat rasakan suami ada lafaz sama ada lafaz sarih (jelas) atau lafaz itu lafaz kinayah (kiasan), wajib buka kes pengesahan di mahkamah. Biar mahkamah yang putuskan,” jelasnya.

Jenis cerai ketiga ialah cerai takliq dan beliau menjelaskan iaitu suami melanggar atau tidak patuh kepada janjinya selepas bernikah.

“Lafaz takliq ini dibaca selepas akad nikah dan akan tertulis di dalam sijil nikah anda. Kes ini boleh difailkan di Mahkamah Rendah Syariah. Isteri tuntut dan isteri juga perlu buktikan dakwaannya di mahkamah.

“Keempat ialah cerai fasakh maksudnya, mahkamah ‘membubarkan’ perkahwinan dengan alasan yang ada di dalam undang-undang. Ada banyak alasan isteri boleh tuntut fasakh, cuma paling penting dakwaan itu perlu dibuktikan.

“Kalau hakim berpuas hati, maka sabitlah fasakh perkahwinan tersebut,” jelasnya.

Bagi jenis cerai popular kelima iaitu tebus talak, Fahmi berkata, isteri membayar sejumlah wang kepada suami sebagai bayaran untuk menebus perkahwinan tersebut.

“Masalah besar jika salah satu pihak tidak bersetuju untuk tebus talak atau tidak bersetuju dengan jumlah tebus talak. Sepatutnya jumlah tebus talak adalah isteri memulangkan semula mahar perkahwinan, tetapi tidak disebut dalam undang-undang perkara sedemikian,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI