LONDON – Lapangan Terbang Heathrow di London mengarahkan syarikat-syarikat penerbangan agar berhenti menjual tiket untuk sepanjang musim panas ini, lapor laman berita RT, kelmarin.
Dalam satu surat terbuka kepada penumpang, pengendali lapangan terbang itu menegaskan bahawa pihaknya perlu mengehadkan bilangan penumpang kepada 100,000 orang setiap hari sehingga 11 September ini.
“Memandangkan bilangan penumpang sering melebihi 100,000 sehari, kami mula melihat keadaan di mana kualiti perkhidmatan menurun kepada tahap yang tidak boleh diterima,” kata Ketua Pegawai Eksekutif lapangan terbang tersebut, John Holland-Kyle.
Tambah beliau, bilangan penumpang buat masa ini terlalu ramai sedangkan jumlah kakitangan tidak mencukupi. Keadaan itu telah mengakibatkan berlakunya kelewatan penerbangan secara besar-besaran, kegagalan dalam pengurusan bagasi dan pembatalan penerbangan pada saat-saat akhir.
“Di Heathrow, kami melihat pertumbuhan penumpang selama 40 tahun dalam masa empat bulan sahaja,” tambah Holland-Kyle dalam surat tersebut.
Lapangan Terbang Heathrow dilaporkan telah merekrut pekerja sejak November tahun lalu selepas menjangkakan berlakunya lonjakan permintaan sepanjang musim panas tahun ini. Ia juga berjanji untuk mempunyai kakitangan keselamatan seramai mungkin menjelang akhir bulan ini.
Bagaimanapun, Holland-Kyle mendakwa bahawa bilangan tiket penerbangan telah dijual secara berlebihan.
Beliau menyalahkan syarikat-syarikat penerbangan kerana tidak membatalkan lebih banyak penerbangan apabila ditawarkan berbuat sedemikian tanpa risiko pemotongan slot pada masa hadapan.
Holland-Kyle memberi amaran bahawa walaupun penerbangan dibatalkan, purata tiket penerbangan pada musim panas akan mencecah purata 104,000 setiap hari, lebih 4,000 daripada yang mampu dikendalikan lapangan terbang itu.
Heathrow termasuk beberapa lapangan terbang lain di Eropah mengalami kekurangan kakitangan secara signifikan selepas memberhentikan ramai pekerja ketika pandemik Covid-19.
Dalam masa sama, penumpang yang telah lama terkurung di rumah pula teruja untuk melakukan perjalanan selepas mandat vaksinasi dan ujian saringan dimansuhkan. – Agensi