PASIR PUTEH – Seorang wanita disahkan meninggal dunia manakala lima lagi termasuk seorang bayi cedera selepas sebuah traler membawa muatan besi terbalik sebelum menghempap sebuah kereta di simpang empat lampu isyarat Kampung Dalam Kemunting, di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 9.05 pagi itu dipercayai turut mengakibatkan lebih 10 pengguna jalan raya berhampiran lokasi turut cedera.
Mangsa yang maut dan cedera dihantar ke unit forensik Hospital Tengku Anis di sini untuk tindakan lanjut.
Tinjauan Kosmo! di lokasi kejadian mendapati, bilah besi bergelimpangan di atas jalan raya dengan sebahagiannya menghempap sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan penunggang motosikal.
Selain itu, nahas tersebut melibatkan enam daripada seramai 23 ahli kelab basikal Ortho Hospital Universiti Malaysia (HUSM) dan Kelab Basikal Continator Malaysia yang sedang dalam perjalanan ke Tasik Kenyir, Terengganu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, laporan lanjut akan dimaklumkan kemudian selepas operasi menyelamat selesai dijalankan. – KOSMO! ONLINE