fbpx

Ibu mentua benci menantu, berusaha runtuhkan rumah tangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Dibenci ibu mentua sejak awal pernikahan dan pelbagai usaha dilakukan semata-mata mahu meruntuhkan rumah tangga yang dibina.

Itu dialami oleh seorang wanita apabila kehadirannya tidak disenangi ibu mentua yang tidak serik-serik mengganggu perkahwinannya agar dia berpisah dengan suami.

Kisah tersebut diceritakan oleh seorang peguam syarie, Nor Asyiqin yang memberitahu, beliau menerima panggilan daripada wanita tersebut serta menyifatkan situasi itu juga sebagai gangguan pihak ketiga.

Menurutnya, wanita itu merupakan janda dan berkahwin dengan suaminya seorang duda menerusi perkenalan singkat serta kedua-dua mereka saling sayang menyayangi dan menjalankan tanggungjawab bersama-sama.

“Ibu mentua merupakan seorang berjawatan dan berpangkat tinggi di sektor kerajaan. Ibu mentuanya sering kali ugut akan membuatkan suami isteri tersebut bercerai walau apa pun terjadi. Jika terpaksa guna orang dalam pun tidak kisah selagi impiannya tercapai.

“Bagi mengelakkan pergaduhan ini berterusan, suami membawa isteri tinggal di negeri agak jauh agar ibunya tidak dapat menganggu rumah tangganya namun ternyata ia masih tidak melemahkan semangat ibunya yang teringin melihat mereka bercerai,” katanya pada hantaran Facebook.

Menjelaskan mengenai gangguan pihak ketiga, Nor Asyiqin berkata, ia bukan setakat skandal dan bekas kekasih sahaja malah, mana-mana pihak yang ingin memastikan pasangan bercerai juga boleh dikategorikan sebagai pihak ketiga, selagi mana mereka memegang matlamat sama iaitu meruntuhkan sesebuah institusi kekeluargaan.

Katanya, kesalahan tersebut di bawah jenayah syariah serta bidang kuasa pendakwa syarie sekali gus kes itu bukan dimulakan oleh pihak peguam syarie.

“Di dalam akta dan enakmen kesalahan jenayah syariah ada menerangkan kesalahan menghasut suami atau isteri bercerai. Seksyen 34 iaitu menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.

“Mana-mana orang menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan atau tanggungjawabnya kepada isteri atau suami atau keluarganya adalah melakukan suatu kesalahan. Apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” jelasnya.

Nor Asyiqin berkata, bagi prosedur mengheret pihak ketiga ke mahkamah, mereka boleh mengambil langkah dengan mengumpul segala bukti, membuat aduan ke bahagian penguatkuasaan jabatan agama Islam dan seterusnya pihak tersebut akan membuka kertas siasatan selepas meneliti bukti-bukti.

Ujarnya lagi, dalam sesetengah kes, pegawai penguatkuasa agama akan memanggil pihak ketiga tersebut untuk diambil keterangan.

“Selepas dibuka kertas siasatan, kes itu akan diserahkan ke bahagian pendakwaan iaitu pendakwa syarie akan meneliti kertas siasatan, keterangan, bukti-bukti dan lain-lain untuk dibentangkan di Mahkamah Tinggi Syariah.

“Apabila pendakwaan siap, barulah kes akan dihantar ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk pendaftaran bagi mendapatkan tarikh sebutan kali pertama. Kes nanti akan dibentangkan oleh pendakwa syarie dengan pesalah dikehendaki duduk di dalam kandang pesalah,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI