ALOR SETAR – Seorang wanita yang menghidap kanser otak tahap dua terpaksa mengerah kudrat untuk menguruskan keperluan harian tiga anak yang masih kecil selain terpaksa bergantung harap kepada bapanya untuk meneruskan hidup.
Marni Azjunita Ahmad, 35, berkata, dia kini perlu kuat untuk menjaga tiga anaknya iaitu Anisah Maisarah Mohd. Yasir, 12; Muhammad Asri, 8, dan Muhammad Yusri.
“Anak perempuan saya iaitu Anisah Maisarah merupakan pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) kategori autisme, manakala anak bongsu, Muhammad Yusri pula mengalami masalah paru-paru kerana lahir tidak cukup bulan,” katanya ketika ditemui di rumah bapanya di Kampung Kuala Kangkong, Simpang Empat di sini baru-baru ini.
Katanya, dia bimbang apabila kesihatan bapanya, Ahmad Rejab, 65, yang menanggung perbelanjaan mereka semakin merosot akibat kanser usus.
“Saya tinggal bersama ayah sejak Februari lalu selepas kehilangan punca pendapatan kerana mata kiri jadi buta.
“Selain itu, saya juga sering mengalami sakit kepala yang teruk akibat kanser otak yang dialami sejak melahirkan anak ketiga dua tahun lalu,” ujarnya.
Menurutnya, Anisah Maisarah menerima bantuan bulanan RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun ia tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan mereka.
“Kami bernasib baik kerana bapa yang menanggung semua makan minum, kos persekolahan anak-anak,” jelasnya.
Selain itu, kata Marni, bapanya juga yang akan menghantarnya ke Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani atau Hospital Sultanah Bahiyah di sini setiap kali mengalami sakit kepala yang teruk kerana tidak mempunyai kenderaan sendiri.
“Sejak kebelakangan ini saya sering demam, tidak boleh tidur dan kerap sakit kepala sebelah kiri kerana terlalu memikirkan nasib diri, masa depan tiga anak dan kesihatan ayah,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban Marni boleh berbuat demikian dengan menghubunginya di talian 012-5097434 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank miliknya 152125275286.