fbpx

Hantu Daeng, ‘keturunan’ Pee Mak kembali mengacau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DAENG merupakan serpihan daripada jenama hantu Thailand, Pee Mak yang cukup popular sebelum ini.

KALIAN barangkali pernah mendengar atau menonton kisah ‘legenda’ Thailand, Pee Mak yang merupakan antara jenama filem terlaris negara gajah putih tersebut.

Naskhah berkenaan menceritakan kehidupan hantu Mae Nak lakonan Davika Hoorne dan manusia bernama Mak (Mario Maureer).

Kali ini, kisah tersebut bersambung kepada penceritaan yang barangkali tidak disedari atau diketahui umum.

Watak utama francais filem terbabit, Mae Nak Prakanong sebenarnya mempunyai seorang anak lelaki bernama Daeng Phra Khanong.

Dalam penceritaan kali ini, Daeng menjadi entiti bergentayangan yang mengganggu ketenteraman di sebuah kampung.

Karya arahan sutradara, Watcharapong Pattama itu dapatlah disimpulkan sebagai menghiburkan, namun jika dibandingkan dengan sekuel Pee Mak yang pernah dihasilkan, Daeng jauh ketinggalan.

Daeng mengisahkan tentang seorang kanak-kanak yang ingin hidup normal sama seperti manusia biasa.

PELAKON cilik, Melik Efe Aygun (berbaju merah) sebagai Daeng barangkali menjadi hantu paling comel dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Terjemahan karakter ‘cilik’

Keinginan Daeng bagaimanapun sukar untuk direalisasikan memandangkan sifatnya kejadiannya yang bukan manusia. Dek kesunyian dan tidak dapat bertemu dengan ibu yang ‘terpisah’ di alam lain, Daeng memenuhi kesendiriannya, berteman dengan kanak-kanak lain.

Dari segi terjemahan karakter, karakter Daeng yang dimainkan pelakon cilik, Melik Efe Aygun sangat menghiburkan. Penuh misteri, namun pada masa sama berkarisma tinggi memenuhi peranan sebagai anak kepada karakter hantu legenda Thailand, Mae Nak.

Apa yang mencuri tumpuan adalah karakter-karakter yang dibawa kanak-kanak lain. Terdapat satu watak yang wajahnya saling tak tumpah seperti orang kulit hitam, namun fasih berbahasa Thailand. Seorang lagi, terlebih berat badan, namun menzahirkan lelucon yang senang dinikmati para audiens.

Dari segi jalan cerita, tidak banyak yang boleh digembar-gemburkan tentang Daeng. Berbunyi klise atau terlalu jujur, tetapi penonton masuk panggung hampir semua terheret ‘sentimen’ Pee Mak.

WATAK pembantu terdiri daripada kanak-kanak variasi karakter menghidupkan nilai lelucon dalam Daeng.

Plot ‘biasa’, CGI ketinggalan

Buat penulis secara peribadi, plot ceritanya mudah dijangka dari permulaan filem hinggalah ke babak akhir. Siapa yang membuat onar dan ‘mastermind’ di sebalik misteri tercetus satu perkampungan daif tersebut, semuanya boleh ditebak.

Dari segi teknik janaan komputer (CGI) juga tidak banyak yang boleh dibanggakan. Barangkali pengarah atau mereka yang terlibat ingin mengekalkan identiti Pee Mak, namun sudah masuk tahun 2022, mungkin penonton mengharapkan ‘sesuatu’ yang berdaya maju, lebih cermat dari segi CGI atau perihal berkaitan teknikal lain termasuk efek bunyi.

Bagaimanapun, jika ada khalayak yang ingin mengubat kerinduan terhadap Pee Mak, Daeng barangkali mempunyai penawar.

Kalau tonton bersama keluarga, pastinya tidak terlepas daripada situasi mengekek-ngekek terutama disebabkan ‘lawak tipikal’ yang dicernakan pelakon utama termasuk karakter-karakter lainn yang berperanan sebagai watak pembantu.

MAHU jadi seperti kanak-kanak normal, Daeng mengisi hidupnya dengan bermain, cuba bersahabat dan membuat kacau di sebuah kampung terpencil.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI