fbpx

Gurauan makan pulut durian kali terakhir jadi kenyataan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan timbunan besi yang jatuh dari sebuah treler sehingga menghempap Yusni dan anaknya dalam kemalangan di simpang empat Kampung Dalam Kemunting, Pasir Puteh hari ini. FOTO TOREK SULONG

PASIR PUTEH – Gurauan mangsa yang maut dihempap timbunan besi dalam kemalangan di Kampung Dalam Kemunting pagi tadi ingin menjamah pulut durian sebagai hidangan terakhir menjadi kenyataan.

Noraini Tabilin, 46, yang juga kakak ipar kepada mangsa, Yusni Hamid, 32, berkata, arwah teringin untuk makan pulut durian air tangannya sehingga membeli buah tersebut semalam.

Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai operator sebuah kilang di Pulau Pinang berselera menikmati pulut durian malam tadi malah turut menyatakan bahawa dia sukar untuk mendapatkan hidangan tersebut lagi selepas ini.

“Dia bergurau dengan saya dan memaklumkan bahawa pulut durian merupakan hidangan terakhirnya. Saya tidak tahu mahu berkata apa, namun tetap bernasib baik kerana sempat menunaikan permintaan terakhirnya itu.

“Yusni pulang ke kampung baru-baru ini dan sepanjang tempoh cuti Hari Raya Aidiladha, dia jarang keluar rumah. Dia lebih menumpukan kerja dapur dan pengurusan anak-anaknya yang ditinggalkan di kampung,” katanya ketika ditemui pemberita di unit forensik Hospital Tengku Anis di sini hari ini.

Menurut Noraini, arwah juga memaklumkan bahawa dia berhasrat untuk mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki di Pulau Pinang selepas lima tahun berpisah dengan bekas suaminya.

Katanya, semasa kejadian, Yusni dan anak sulungnya, Mohamad Shahrul Rizal Mohd. Azizi, 12, sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Gong Kala di sini selepas membuat kad pengenalan remaja itu.

“Sebelum ini, arwah meninggalkan tiga orang anak untuk dijaga oleh kedua ibu bapa semasa dia bekerja di Pulau Pinang.

“Kemalangan tragis itu turut mengakibatkan Mohamad Shahrul Rizal putus kaki kirinya. Pihak Hospital Universiti Sains Malaysia memaklumkan bahagian kakinya itu tidak dapat disambung lagi dan akan disemadikan bersama jenazah Yusni di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Tinggi di sini petang ini,” katanya.

Terdahulu, Seorang ibu tunggal maut manakala anak lelakinya putus kaki kiri selepas motosikal yang dinaiki mereka dihempap muatan besi yang dibawa sebuah treler terbalik.

Kejadian pada pukul 9.05 pagi itu mengakibatkan Yusni meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anaknya putus kaki kiri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI