PETALING JAYA – Bursa Malaysia Derivatives Berhad (Bursa Malaysia Derivatives) bersama Shanghai Futures Exchange (SHFE) dan Shanghai International Energy Exchange (INE) telah memeterai memorandum persefahaman untuk mengukuhkan perniagaan kerjasama sedia ada.
Melalui kerjasama tersebut, setiap bursa itu akan berkongsi maklumat dan melaksanakan amalan terbaik bagi produk pembangunan, operasi pasaran dan perkara yang menarik dalam tiga bursa berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Derivatives, Samuel Ho berkata, pemeteraian MoU tersebut adalah pembangunan positif bagi landasan untuk perhubungan jangka panjang antara Bursa Malaysia Derivates, SHFE dan INE.
“Selain memacu kepada pembangunan pasaran derivatif ASEAN, kerjasama ini secara langsung akan menyokong dan menyumbang kepada hala tuju perdagangan ekonomi China-Malaysia sebagai mana Malaysia adalah rakan dagang dan pengimport getah terbesar bagi China.
“Kami berharap kerjasama dengan SHFE dan INE dalam pembangunan produk baharu bukan sahaja dapat melengkapkan tawaran sedia ada tetapi ia juga bakal memenuhi keperluan pelanggan yang semakin sofistikated kini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif SHFE dan INE, Wang Fenghai menerangkan, pemeteraian MoU antara tiga entiti itu adalah kemuncak hubungan baik yang terjalin antara mereka selama ini sejak beberapa tahun sebelum ini.
SHFE dan INE berminat untuk bekejasama dengan Bursa Malaysia Derivatives bertujuan untuk memahami persefahaman antara satu sama lain dalam pasaran berbeza dan juga menyediakan lebih banyak platform pengurusan risiko kepada pelabur.
Buat masa ini, INE telah menarik minat pelabur daripada lebih 20 buah negara dari enam benua termasuk Asia, Eropah, Amerika Utara, Afrika, Amerika Selatan dan Oceania.
Ia juga memiliki banyak produk atarabangsa berbanding bursa hadapan komoditi yang lain di China. -KOSMO! ONLINE