PASIR PUTEH – Kegagalan fungsi brek pada sebuah treler membawa muatan besi dipercayai menjadi punca nahas yang menyebabkan seorang ibu tunggal maut dalam kejadian di simpang empat lampu isyarat Kampung Dalam Kemunting di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati brek treler gagal berfungsi semasa kenderaan berat itu cuba mengelak ke kiri jalan semasa tiba di kawasan tersebut.
Menurutnya, insiden tersebut menyebabkan treler itu terbalik atas sebuah kereta, sebuah motosikal dan penunggang motosikal yang berhenti di laluan bersebelahan berhampiran lampu isyarat.
“Seorang ibu tunggal, Yusni Hamid, 32, yang menunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anaknya, Mohamad Shahrul Rizal Mohd. Azizi, 12, putus kaki kirinya.
“Pemandu treler tersebut yang berusia 44 tahun patah tulang belakang dan kini dirawat di Hospital Tengku Anis di sini. Ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Zaizul Rizal, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, kejadian kira-kira pukul 9.05 pagi itu berlaku semasa Yusni membonceng anaknya dengan sebuah motosikal dan mereka dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Gong Kala di sini selepas selesai membuat kad pengenalan remaja tersebut.
Yusni yang sebagai operator kilang eletronik di Pulau Pinang pulang ke kampung semasa cuti Hari Raya Aidiladha dan mengambil kesempatan untuk membawa anak sulung daripada tiga beradik ke Jabatan Pendaftaran Negara dekat sini. – KOSMO! ONLINE