fbpx

Banjir Baling: KPLB bina 21 rumah baharu untuk mangsa hilang tempat tinggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahdzir (tiga dari kiri) meninjau lokasi pembinaan rumah untuk penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat kejadian kepala air dan banjir di Kupang, Baling pada 4 Julai lalu.

BALING – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan membina 21 buah rumah baharu untuk penduduk yang kehilangan tempat tinggal dalam kejadian kepala air dan banjir di Kupang di sini pada 4 Julai lalu.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pembinaan rumah jenis teres di atas tanah seluas lebih satu hektar milik Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) di Desa KEDA Sadek, Kupang itu dianggarkan menelan belanja RM1.5 juta.

“Kita dapati bahawa di Desa KEDA Sadek ini ada dua lokasi untuk pembinaan rumah, satu adalah padang yang anak-anak muda main bola dan satu lagi adalah di tanah kosong di tepi jalan.

“Saya telah berbincang dengan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPLB, Pengurus Besar KEDA dan kita bersetuju menjadikan tapak tanah di tepi jalan sebagai perumahan untuk mangsa banjir,” katanya kepada media selepas mengadakan tinjauan ke tapak tanah itu di sini hari ini.

Katanya, pembinaan rumah itu dijangka siap dalam tempoh enam bulan dan akan diberikan kepada keluarga yang hilang tempat tinggal atau rumah mengalami kerosakan sehingga 80 peratus serta tidak boleh didiami lagi akibat bencana itu.

“Pembinaan rumah tersebut mungkin mengambil sedikit masa kerana akan melibatkan kelulusan kebenaran merancang yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, laporan terkini menunjukkan lebih 400 rumah mangsa banjir disenaraikan untuk dibaik pulih berbanding laporan awal sebanyak 60 buah rumah.

Katanya, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri untuk menyegerakan kerja baik pulih kerosakan rumah mangsa banjir tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI