LONDON – Bekas pertahanan Arsenal, Per Mertesacker percaya pembelian Gabriel Jesus merupakan satu langkah tepat daripada The Gunners yang menyimpan hasrat untuk kembali beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.
Jesus melengkapkan perpindahan daripada juara bertahan Liga Perdana Inggeris, Manchester City ke Arsenal dengan perjanjian bernilai £45 juta (RM237.41 juta) baru-baru ini.
Penyerang Brazil itu tidak menunggu lama untuk mencetuskan impak positif apabila meledak dua gol ketika turun membuat debut bersama Arsenal menewaskan Nurnberg 5-3 dalam satu aksi persahabatan pada Jumaat lalu.
“Kami berjaya mencari cara untuk meyakinkan dia cepat membuat keputusan menyertai Arsenal dalam jendela perpindahan ketika ini. Saya fikir kami sangat proaktif dan tidak perlu menunggu terlalu lama.
“Pembelian ini memperlihatkan sasaran dan kesungguhan kami untuk musim depan. Kami mahukan pemain yang benar-benar bersedia untuk menyarung jersi pasukan ini.
“Ia akan membuatkan pemain itu bersedia sepenuhnya untuk membawa kelab ini kembali ke tempat sebenar iaitu pentas Liga Juara-Juara Eropah,” kata Mertesacker yang kini bergelar pengurus Akademi Arsenal.
Penyerang berusia 25 tahun itu adalah antara empat pembelian Arsenal dalam jendela perpindahan kali ini selain perancang tengah, Fabio Vieira daripada Porto; pemain sayap, Marquinhos (Sao Paulo) dan penjaga gol, Matt Turner (New England Revolution).
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta dilaporkan masih mahu menandatangani beberapa pemain baharu sebelum jendela perpindahan ditutup pada 1 September depan antaranya Lucas Paqueta, N’Golo Kante, Lisandro Martinez, Youri Tielemans dan Serge Gnabry. – AGENSI