KANGAR – Sebanyak 20 buah sekolah di negeri ini dilaporkan mengalami kerosakan akibat ribut yang melanda seluruh negeri ini pada kelmarin.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Naharudeen Othman berkata, kerosakan didapati melibatkan bahagian bumbung dan tidak menjejaskan fizikal dalaman bangunan.
Katanya, kejadian berlaku ketika sekolah belum dibuka kerana cuti sempena Hari Raya Aidiladha.
“Buat masa sekarang pihak jabatan telah melantik kontraktor bagi membaiki kerosakan dan kita menumpukan kepada bahagian yang kritikal terlebih dahulu.
“Secara kasar anggaran nilai kos pembaikan mungkin mencecah sehingga RM200,000 kerana melibatkan sewaan kren dan pembaikan tempat tinggi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ujarnya, selain kerosakan bumbung terdapat juga laporan pokok tumbang dan kerja-kerja pembaikan mungkin mengambil masa satu bulan untuk disiapkan sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE