PETALING JAYA – Seorang wanita fobia atau trauma apabila perlu berdepan dengan pemandu e-hailing yang mengamuk secara tiba-tiba.
Menerusi perkoongsian @ezzatyzaludin_ di TikTok memaparkan dia berasa takut setelah pemandu lelaki itu melepaskan kemarahan kepadanya ekoran sikap pelanggannya sebelum ini.
Di dalam perkongsian tiga video berasingan itu juga turut memaparkan bagaimana pemandu itu tidak puas hati dengan memarahi dan meninggi suara mengadu berkenaan seorang pelanggan perempuan yang menggunakan perkhidmatannya sebelum ini
“Jadi pemandu ini nak lepaskan marah dia dekat pelanggan sebelum ini, tapi kebetulan saya yang naik dan saya perempuan, saya pula yang kena hadap,” tulisnya.
Rata-rata orang ramai menganggap kelakuan pemandu itu melampaui batas sehingga menyebabkan pelanggan berasa takut dan trauma.
“Saya masih boleh tenang sehingga bahagian dia jerit dan tinggikan suara,” kata @mentally unstable.
“Yang dia nak lepaskan marah dekat orang lain itu, dah kenapa,” jelas @Abby.
Sementara itu, @Bella Rahim mencadangkan agar dia buat laporan polis dan turut bersimpati kerana terpaksa melalui pengalaman sebegitu.
“Kena buat laporan polis ini awak, kasihannya awak, saya pun takut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE