PETALING JAYA – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) komited menyiapkan kerja-kerja akhir Projek Taman Seri Molek Perdana, Johor Bahru, Johor dengan kadar segera.
SPNB dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang memastikan kontraktor untuk menyiapkan perumahan tersebut dengan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada suku ke-4 tahun ini.
“Untuk makluman, Fasa 1 projek ini telah memperolehi CCC pada 15 Disember 2020, manakala bagi Fasa 2 CCC telah diperolehi pada 31 Disember 2021,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, SPNB akan memastikan hak-hak setiap pembeli adalah terjamin seperti mana yang termaktub di dalam Perjanjian Jual Beli yang telah ditandatangani oleh para pembeli sebelum ini.
“Pihak SPNB komited dalam menyokong hasrat kerajaan ‘Satu Keluarga, Satu Rumah’ yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob demi manfaat Keluarga Malaysia keseluruhannya,” ujarnya.
Jumlah keseluruhan kediaman di Fasa 1, 2 dan 3 Projek Taman Seri Molek Perdana adalah sebanyak 972 unit merangkumi Rumah Pangsa Kos Sederhana Rendah, Pangsapuri Kos Sederhana dan Rumah Pangsa Kos Rendah. – KOSMO! ONLINE