fbpx

Prestasi Al Rihla bakal jadi tumpuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al Rihla, bola yang diguna di Piala Dunia 2022 - Foto Twitter FIFA World Cup

PENGANJURAN Piala Dunia pada setiap edisi pastinya membuatkan ramai peminat menantikan pasukan manakah yang bakal dinobatkan sebagai yang terbaik dalam dunia, bintang-bintang yang menonjol dan banyak lagi elemen-elemen kejutan.

Selain itu, sejak penganjuran kali pertama pada 1930, FIFA akan memperkenalkan bola rasmi yang akan digunakan sepanjang saingan berkenaan.

Ketika penganjuran yang berlangsung di Montevideo, Uruguay pada tahun 1930, dua jenis bola telah digunakan pada perlawanan akhir apabila Argentina memilih Tiento untuk aksi babak pertama, manakala Uruguay menggunakan bola rekaan mereka iaitu T-Model untuk separuh masa kedua.

Empat tahun kemudian, FIFA memutuskan hanya satu jenis bola digunakan sepanjang kempen sehingga perlawanan akhir apabila bola tersebut diberi nama Federale 102 keluaran syarikat Ente Centrale Approvvigionamento Sportivi (ECAS) dari Rom, Itali.

Selepas itu, menamakan bola yang digunakan pada setiap edisi Piala Dunia menjadi tradisi antaranya, Allen, Duplo T, Swiss World Champion, Top Star, Crack dan Challenge 4-Star keluaran Slazenger.

Bermula saingan edisi kesembilan pada 1970 yang dihoskan oleh Mexico, Adidas mula mendapat hak untuk membekalkan bola bagi saingan bola sepak paling berprestij dengan nama pertama yang diberikan adalah Telstar sebelum jenama tersebut memonopolinya sehingga kini untuk tempoh 14 edisi.

Bagi saingan Piala Dunia 2022 di Qatar yang akan bermula November nanti, Adidas telah menamakan produk mereka dengan nama Al Rihla.

Pengarah Reka Bentuk Bola Adidas, Franziska Loeffelmann berkata, tema Al Rihla diinspirasikan daripada seni bina yang terdapat di negara penganjur itu sendiri yang memiliki bangunan-bangunan hebat.

“Penggunaan warna pada Al Rihla juga adalah berdasarkan elemen semulajadi di Qatar, matahari terbenam di padang pasir membentuk warna merah dan kuning, manakala biru pula mewakili kawasan pantai dan laut yang menjadi sebahagian daripada negara tersebut.

“Kelajuan pergerakan bola juga berbeza apabila ia lebih pantas kerana Al Rihla mewakili Qatar sebagai negara yang pesat membangun,” katanya.

Sepanjang Adidas memegang hak untuk membekalkan bola dalam pertandingan Piala Dunia, warna putih adalah cukup signifikan dengan sebiji bola, tetapi Al Rihla kali ini lebih istimewa apabila mereka meletakkan warna asas putih mutiara yang mampu memikat mata mereka yang menyaksikannya.

Seperti sebelum ini, proses penghasilan Al Rihla tidak berlaku dengan mudah apabila meletakkan kualiti sebagai keutamaan termasuk menggunakan ujian terowong angin dan melalui proses berjuta-juta kali tendangan menggunakan robot bagi mendapatkan data yang tepat.

Kesemua proses berkenaan dilakukan untuk menghasilkan sebiji bola yang memiliki aerodinamik yang terbaik, mampu bergerak dengan rintangan angin yang kurang selain pergerakan yang lebih tepat, ringkas dan tanpa elemen lain yang boleh mengganggu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI