fbpx

Pengilang seludup minyak masak boleh digantung lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander bersama Ahmad Faizal Azumu melihat barangan yang dijual semasa hadir program Walkabout Pemeriksaan dan Pemantauan Harga Barang di AEON Big Alamanda, Putrajaya di sini, hari ini./ FOTO FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan mana-mana pengilang pembungkusan minyak masak bersubsidi yang didapati menyeludup bekalan itu ke negara jiran boleh dikenakan tindakan penarikan lesen selain operasi kilang akan digantung.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan itu boleh dikenakan kepada pengilang terlibat berdasarkan peruntukan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Kalau kita dapat bukti, sebenarnya ada undang-undang tertentu yang boleh kita kenakan kepada mereka (pengilang) dan satu daripadanya ialah boleh digantung operasi dan penarikan lesen.

“Bagaimanapun, tindakan yang bakal dikenakan itu bergantung kepada sejauh mana kesalahan dilakukan pengilang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan dan pemantauan harga bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di sebuah pasar raya di sini tadi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa mengenai bukti ketirisan minyak masak di sempadan, Alexander memberitahu, beberapa tangkapan telah dibuat pihaknya.

“Kami memang sudah jalankan pemantauan dan siasatan sebelum ini kerana ia prosedur operasi standard (SOP) kementerian untuk menangani masalah ketirisan dan penyeludupan ke negara jiran.

“Jadi, memang sudah ada tangkapan dibuat sejak kami memperhebatkan lagi usaha membendung masalah itu. Semuanya masih dalam siasatan dan kalau didapati bersalah, kita akan lakukan ikut undang-undang sedia ada,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Alexander menambah, KPDNHEP turut menjalankan kerjasama bersama Kementerian Belia dan Sukan selain sudah berhubung dengan agensi lain seperti polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membanteras ketirisan terbabit.

“KPDNHEP telah memanggil mesyuarat bersama polis dan ATM seterusnya akan disusuli dengan proses libat urus lebih kerap. Jadi, kita harapkan bantuan agensi penguatkuasaan dalam membantu hal ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI