PROVOKASI dicetuskan seorang wanita ketika membuat persembahan lawak yang mengejutkan khalayak ketika masyarakat Islam sibuk melakukan persiapan Hari Raya Aidiladha tidak terhenti hanya di situ sahaja.
Disebabkan perbuatan yang disifatkan ramai sebagai satu penghinaan kepada Islam, wanita berusia 26 tahun itu direman selama tiga hari bermula 10 Julai lalu.
Satu Malaysia menjadi saksi kebobrokan dilakukannya yang pada mulanya memperkenalkan diri sebagai seorang wanita yang sopan dan bertudung, namun entah dari mana datangnya energi negatif apabila tergamak membuka baju, kain serta tudungnya usai memberitahu dirinya seorang Muslim dan sudah menghafal 15 juzuk al-Quran.
Juga disebabkan perbuatan biadabnya, lokasi insiden tersebut terjadi, Crackhouse Comedy Club yang terletak di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) turut menerima natijahnya.
Di situ, bermulalah polemik dua bahagian puak. Yang menyokong dan yang menentang keputusan atau tindakan dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menutup sementara premis berkenaan.
Antara yang mencuri tumpuan adalah pergolakan ideologi antara dua anak seni yang dari cabang seni iaitu Datuk Afdlin Shauki dan Shahrol Shiro.
Afdlin hadir dengan teori ‘kolam renangnya’ sementelah Shahrol berasakan bahawa adalah wajar penutupan operasi premis berkenaan dilakukan.
“Bawa bertenang dan jangan melatah buat Afdlin serta penggiat stand up comedy yang mempertahankan kelab itu.
“Bukan hendak menjadi jaguh tetapi tidak tergamak buat bodoh apabila sesuatu yang mungkar terlihat semata-mata meraikan bakat komedi,” ujar Shahrol menerusi satu hantaran terbaharu di Instagram.
Dalam pada itu, Afdlin, 51, memberi analogi mempertahankan Crackhouse Comedy Club atas alasan ramai yang mencari rezeki di premis itu. Dalam kata lain, jangan disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga.
“Takkan kita tutup swimming pool pasal seorang peserta renang ambil steroid? Itu salah perenang, bukan salah swimming pool,” getus pengarah filem itu.
Afdlin bagaimanapun mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang dilakukan wanita itu termasuk mereka yang berada di belakangnya.
Apapun, tolak tepi sentimen bersifat rasisme atau sebagainya, penulis tertarik dengan kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang berbunyi: “Jika anda tidak mahu mengamalkan atau percaya kepada ajaran Islam, itu antara anda dengan Allah.
“Namun, jika anda mencabar dan menghina Islam secara terbuka, itu bererti anda mencabar masyarakat Muslim. Maka, jangan hairan jika ada yang menyahut cabaran anda dan mengajar anda bagaimana cara untuk hidup beradab dalam masyarakat majoriti Muslim.”
Tidak hanya disitu, satu lagi video yang kian tular berhubung seorang lelaki dipercayai pemilik premis komedi berkenaan yang melakukan stand up comedy dalam bahasa Tamil memerli orang Melayu dan Bumiputera.
Komedi sepatutnya menjadi ruang atau platform manusia tertawa bertepuk tampar dengan aman bukannya menjadi medan bercakaran antara satu sama lai.
Tahun ini, Malaysia akan menyambut kemerdekaan yang ke-65 tahun. Satu usia yang cukup matang untuk rakyatnya sama-sama berganding bahu bergerak ke hadapan dengan cara kita.