fbpx

Mahkamah Rayuan Paris benarkan Malaysia gantung tuntutan waris Sulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Junaidi.

PETALING JAYA – Mahkamah Rayuan Paris telah membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia menggantung penguatkuasaan Final Award berikutan tuntutan oleh pihak-pihak yang mendakwa sebagai waris dan ‘successors-in-interest’ kepada Sultan Jamalul Kiram II.

Perintah penggantungan tersebut adalah terhadap penguatkuasaan Final Award dikeluarkan Dr. Gonzalo Stampa bertarikh 28 Februari melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, asas keputusan Mahkamah Rayuan Paris adalah Final Award tersebut akan menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

“Perintah penggantungan itu hasil daripada pelbagai tindakan perundangan diambil oleh Kerajaan Malaysia bermula daripada tuntutan tersebut difailkan bagi menamatkan segala tuntutan dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.

“Oleh itu, kesan daripada perintah penggantungan dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan Paris pada 12 Julai, Final Award tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris berkenaan permohonan pembatalan Final Award yang dibuat oleh Kerajaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, dua syarikat subsidiari Petronas di Luxembourg telah dimaklumkan pada 11 Julai lalu mengenai penguatkuasaan Final Award melalui penyerahan notis yang dikeluarkan oleh Mahkamah Luxembourg.

“Petronas sebagai sebuah syarikat akan mengambil tindakan perundangan yang perlu untuk mempertahankan kedudukannya di bawah undang-undang.

“Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa ia tidak pernah mengiktiraf tuntutan tersebut dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat,” ujarnya.

Wan Junaidi berkata, berikutan kejayaan Kerajaan Malaysia mendapatkan perintah penggantungan Final Award, Kerajaan Malaysia sedang membuat persiapan rapi untuk pendengaran bagi pembatalan Final Award yang mana tarikh pendengarannya belum ditetapkan.

Tegasnya, kerajaan Malaysia akan terus mengambil semua langkah sewajarnya termasuk tindakan perundangan untuk menamatkan segala tuntutan tersebut dan memastikan kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.

Malah, beliau berkata, prosiding jenayah terhadap Stampa juga difailkan oleh Kerajaan Malaysia bagi kesalahan menghina mahkamah di Mahkamah Jenayah di Madrid dan perkara tersebut masih berjalan.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, dua anak syarikat Petronas di Luxembourg telah dirampas oleh waris arwah Sultan Sulu dalam pertikaian undang-undang bernilai AS$15 bilion (RM66.5 bilion) berhubung satu perjanjian yang ditandatangani 144 tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI