KLANG – Kajian secara menyeluruh sedang dilakukan akibat peningkatan kos hidup ketika ini sebelum ketetapan menaikkan jumlah bantuan sara hidup asnaf di Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, LZS sentiasa prihatin dengan isu kenaikan kos hidup yang memberikan kesan kepada semua kategori masyarakat terutama golongan B40.
“Kajian berhubung had kifayah sedang dilakukan dan kita akan melihatnya secara menyeluruh. Ini bagi menilai sama ada impak (kenaikan kos sara hidup) bersifat sementara atau berterusan.
“Sebelum ketetapan had kifayah itu ditentukan, kita akan terus menyalurkan bantuan untuk keperluan-keperluan asnaf,” katanya dalam Program Korban Perdana 2022 di Kompleks Anak-Anak Asnaf Bait Al-Hasanah Kampung Perepat, hari ini.
Jelas Mohd. Sabirin, meski pun berlaku kenaikan kos hidup pada masa ini, pihaknya mendapati jumlah permohonan bantuan zakat yang baharu dan asnaf memohon keluar agak seimbang.
“Ketika ini dianggarkan seramai 65,000 keluarga adalah asnaf dan berdasarkan perkembangan semasa ia mungkin meningkat namun kita belum ada jumlah terkini.
“Setiap permohonan baharu akan diterima dan disaring sebelum membantu mereka yang benar-benar memerlukan,” ujarnya.
Mengulas mengenai program korban itu, beliau memaklumkan sebanyak 13 ekor lembu dan empat ekor kambing disumbang oleh Syarikat Medkad Sdn.Bhd. dan Persatuan Pengurusan Petronas Malaysia yang akan diberikan kepada 300 keluarga asnaf di sekitar Klang, Petaling dan Kuala Langat. – KOSMO! ONLINE