LONDON – Seorang lelaki Britain yang menganggur selama tiga tahun akhirnya berjaya mendapat pekerjaan selepas dia berdiri di tepi jalan sambil memegang papan tanda rayuan bekerja, lapor akhbar Mirror UK semalam.
Craig Driver, 49, berada di tepi sebatang jalan berhampiran bandar Hull dengan memegang papan tanda besar yang mengiklankan kesediaannya untuk bekerja.
Dia mengambil tindakan drastik itu selepas bergelut mencari kerja sejak kehilangan pekerjaan dalam bidang pembinaan pada 2019 akibat mengalami strok.
Driver memulakan kempennya pada 28 Jun lalu dengan berdiri di kawasan itu setiap hari pada minggu tersebut dengan memakai sut dan tali leher.
Bapa kepada seorang anak itu kemudian ditawarkan pekerjaan pada 4 Julai lalu sebagai pengurus pembangunan di The Hull and East Yorkshire Smile Foundation selepas seorang kakitangan melihat aksinya.
Kakitangan wanita berkenaan kemudian menelefon majikannya untuk memberitahu bahawa dia berpendapat Driver sesuai untuk organisasi itu yang menguruskan projek amal serta turut mencari pekerja.
Selepas Ketua Pegawai Eksekutif, Andy Barber dan Ketua Perniagaan dan Komunikasi syarikat, Ann Newlove melihat resume Driver, mereka memutuskan bahawa dia sesuai untuk syarikat itu. – Agensi