PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan mengesahkan bahawa operasi sebuah kelab komedi di ibu negara yang digantung sementara baru-baru ini tidak memiliki sebarang lesen hiburan.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, lesen premis di Taman Tun Dr. Ismail itu yang diluluskan pada 2018 hanya untuk operasi restoran dan jualan minuman keras sahaja.
“Ia masih sah hingga kini namun premis tiada lesen hiburan, padahal pengusaha seumpama itu perlu ada lesen hiburan terlebih dahulu sebelum beroperasi.
“Premis itu telah beroperasi tanpa lesen sejak 2014 hingga 2017, malah pengusaha juga gagal mematuhi pelbagai keperluan ditetapkan setiap kali permohonan dibuat, “ katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Beliau berkata demikian sebagai merujuk tindakan penggantungan sementara operasi kelab itu yang dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Ahad lalu susulan isu tular persembahan hina Islam.
Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, DBKL akan terus mempergiatkan operasi bagi mengekang aktiviti haram dan pelanggaran undang-undang di premis hiburan sekitar Kuala Lumpur sepanjang masa. – KOSMO! ONLINE