BANGKOK – Pengurus Manchester United, Erik ten Hag akhirnya membuka mulut apabila menegaskan, Cristiano Ronaldo tidak akan dijual kerana penyerang itu berada dalam perancangannya musim depan.
Pendedahan Ten Hag seperti memberikan satu ‘kemenangan’ buat peminat-peminat tegar United yang tidak sanggup untuk melihat bintang veteran berusia 37 tahun itu meninggalkan Stadium Old Trafford selepas ini.
Ketiadaan Ronaldo bersama The Red Devils untuk aksi pramusim di Thailand menentang seteru tradisi, Liverpool di Stadium Rajamangala, Bangkok malam kelmarin menghangatkan lagi spekulasi perpindahan kapten Portugal itu.
“Dia (Ronaldo) tidak bersama kami kerana ada isu peribadi. Kami sedang melakukan perancangan buat Ronaldo musim depan. Saya tidak sabar untuk bekerja bersamanya.
“Saya ada membaca mengenainya (hasrat Ronaldo mahu berhijrah) tetapi apa yang saya boleh katakan Ronaldo bukan untuk dijual. Dia dalam perancangan saya dan kami mahu melakar kejayaan bersama-sama,” kata Ten Hag.
Dalam masa sama, pengendali berusia 52 tahun dari Belanda itu dipercayai sedang mendesak pihak pengurusan tertinggi United untuk menyelesaikan segera urusan pembelian pemain tengah Barcelona, Frenkie de Jong dan tonggak pertahanan Ajax, Lisandro Martinez.
“Kami tahu apa yang kami mahukan. Bukan sekadar membeli tetapi kami mahu pemain baharu yang tepat untuk membawa perubahan kepada pasukan ini,” jelas bekas ketua jurulatih Ajax itu.
Sementara itu, kapten Denmark, Christian Eriksen dijangka menandatangani kontrak tiga tahun bersama United dan bakal menyertai rakan sepasukan baharunya dalam aksi pramusim seterusnya di Australia. – AGENSI