KEMAMAN – Seorang anggota bomba yang sedang memadamkan kebakaran sebuah premis pernah beroperasi sebagai kilang besi nyaris maut apabila terjatuh dari ketinggian tiga meter di Teluk Kalong di sini malam tadi.
Kejadian pada pukul 7.45 malam itu menyebabkan anggota bomba terbabit, Muhammad Ridzuan Kamaruzaman, 31, mengalami retak pada pergelangan tangan kanannya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd. Zailani Abdullah berkata, sewaktu kejadian, mangsa sedang terlibat dalam kerja-kerja memadamkan kebakaran di sebuah premis kilang besi yang sedang dalam proses pelupusan.
“Premis yang terbakar itu mempunyai banyak timbunan besi dan agak gelap. Sewaktu sedang memadamkan kebakaran, anggota bomba terlibat dikatakan telah terpijak struktur besi tidak kukuh.
“Ia menyebabkan dia tergelincir lalu terjatuh pada ketinggian kira-kira tiga meter,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Zailani berkata, Muhammad Ridzuan bernasib baik tidak mengalami kecederaan lebih teruk kerana memakai pakaian khas operasi.
Beliau berkata, anggota bomba terbabit telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman. – KOSMO! ONLINE