BANGKOK – Kehadiran Erik ten Hag sebagai pengurus Manchester United dilihat tiba pada waktu yang tepat untuk mengembalikan kegemilangan bekas gergasi Eropah itu.
Ia terbukti menerusi corak permainan pantas ditunjukkan para pemain The Red Devils ketika menjinakkan Liverpool 4-0 dalam aksi pramusim yang berlangsung di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand sebentar tadi.
Dalam aksi itu, Ten Hag membuat keputusan untuk menurunkan barisan terkuat di separuh masa pertama berbanding The Reds yang hanya mempertaruhkan majoriti pemain daripada skuad akademi mereka.
Situasi itu sememangnya membolehkan United menguasai 45 minit aksi separuh masa pertama dengan tiga gol hasil daripada kerapuhan benterng pertahanan Liverpool yang dilihat masih cetek pengalaman kompetitif.
Gol pertama United bermula dengan percubaan Jadon Sancho (m-12) sebelum Fred meledak gol cantik menerusi satu lambungan menarik menewaskan penjaga gol Liverpool, Alisson Becker pada minit ke-30.
Kurang tiga minit kemudian, United terus mengganas apabila menghasilkan gol ketiga kali ini menerusi larian solo daripada Anthony Martial pada minit ke-33.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp membawa masuk pemain-pemain utama di babak kedua seperti Mohamed Salah, Thiago Alcantara, Virgil van Dijk dan Fabinho serta pembelian baharu daripada Benfica, Darwin Nunez.
Namun, ia masih gagal memecahkan tembok belakang United yang berjaya mematahkan setiap serangan dilancarkan Liverpool di bahagian tepi menerusi Trent Alexander-Arnold dan Andrew Robertson.
Sebaliknya, gaya permainan menarik Ten Hag ala ‘tiki-taka’ membolehkan The Red Devils meledak gol keempat menerusi satu serangan balas pantas yang disudahkan Facundo Pellistri pada minit ke-76.
Walaupun ia cuma aksi pramusim tetapi kemenangan besar ke atas Liverpool itu pastinya memberikan keyakinan kepada para pemain untuk mempercayai strategi Ten Hagi bagi mengharungi saingan musim depan. – KOSMO! ONLINE