fbpx

Supermoon ‘tanduk rusa’ paling hampir dengan bumi esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar imej Supermoon Strawberry dirakamkan di Observatori Negara Langkawi, Kedah pada 14 Jun lalu. - FOTO: IHSAN MYSA

PUTRAJAYA – Penduduk Malaysia sekali lagi akan berpeluang menyaksikan fenomena ‘perigee’ atau kedudukan bulan yang berada amat dekat dengan bumi pada pukul 5.09 petang esok.

Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) menerusi hantaran dalam laman sosialnya berkata, kejadian yang dikenali sebagai Supermoon itu menyaksikan saiznya tujuh peratus lebih daripada bulan penuh biasa.

“Semasa fenomena alamiah ini, bulan akan kelihatan 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih cerah berbanding keadaan ‘Micromoon’ ketika paling jauh daripada bumi,” jelasnya lagi.

Lebih menarik, kejadian kali ini turut disebut sebagai Supermoon ‘Buck’ kerana imejnya yang seperti tanduk rusa jantan dengan merujuk gelaran diberikan petani pribumi di Amerika Utara.

Kali terakhir fenomena tersebut direkodkan ialah pada 14 Jun lepas yang juga digelar sebagai Supermoon Strawberry kerana warnanya ala bunga mawar dan menyerupai buah tersebut.

Mysa melalui hantaran tersebut menjelaskan bahawa posisi perigee pada kali ini ialah 357,263 kilometer (km) berbanding jarak dekat kelaziman bulan secara purata adalah 363,396 km.

Keadaan itu menjadikan saiz bulan purnama tersebut bukan sahaja kelihatan amat hampir, bahkan begitu besar dan paling cerah untuk rekod 12 bulan penuh pada sepanjang tahun ini.

Fenomena ini berbeza daripada bulan penuh pada kedudukan paling jauh dari bumi atau dirujuk apogee yang juga digelar Micromoon, Minimoon, Mini Full Moon atau Mini New Moon.

Jelas Mysa, bulan beredar mengelilingi bumi dalam orbit elip dengan jarak berbeza-beza antara pusat bulan dan pusat bumi manakala paling jauh pernah direkodkan ialah 405,504 km.

Berdasarkan jadual yang diterbitkan laman sesawang falak ternama antarabangsa Astropixels, tahun ini Supermoon berlaku empat kali iaitu pada 16 Mei, 14 Jun, 13 Julai dan 12 Ogos.

Setakat ini, rekod jarak Supermoon yang paling dekat dengan bumi ialah pada pukul 1.52 tengah hari (9.52 malam waktu Malaysia) 14 November 2016 lalu iaitu hanya 356,523 km.

Selepas ini pula, rekod perigee yang paling hampir dijangka berlaku sekali lagi pada pukul 7.18 malam (3.18 pagi waktu Malaysia) 6 Disember 2052 dengan jaraknya iaitu 356,429 km.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI