DUGAAN yang melanda rumah tangga pasangan sensasi, Bella Astillah dan Aliff Aziz hakikatnya mengukuhkan lagi ikatan cinta mereka.
Kebahagiaan dilalui kini bersama dua permata hati turut memberikan kegembiraan kepada ramai insan lain yang mendoakan ikatan mereka terus utuh.
Episod kelam yang menerjah kehidupan hingga menjadi perhatian ramai juga bertukar menjadi pengalaman paling berharga, sekali gus pelajaran terbesar dalam diri mereka.
Enggan menoleh ke belakang, jalan lurus di depan mata terbentang luas buat dua figura popular itu terus menikmati detik indah bersama.
Percaya dengan setiap yang terjadi ada hikmah di sebaliknya, Bella dan Aliff kian menghargai setiap kurniaan Allah dengan berikrar untuk terus bersama, telus mencintai dan saling menghargai.
Bagi menzahirkan segala onak duri kehidupan, Bella merealisasikan sebuah dendangan berjudul Tetap Di Sini sebagai saksi janji cinta mereka dengan penampilan istimewa sang suami.
Lagu ciptaan Mingaling, Amir Hasan, EzraKairo dan Roysten serta lirik oleh Amir Hasan, EzraKairo, Roysten dan pasangan itu sendiri juga merupakan kolaborasi pertama mereka.
Akui Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 28, single terbitan Universal Music Malaysia tersebut cukup dekat dengan apa yang dirasai dan dilalui kini.
“Ketika proses penulisan lagu, alhamdulillah saya dan Aliff diberi kesempatan untuk menulis lirik yang menterjemahkan perasaan kami.
“Lagu ini lebih kepada ‘move on’, jalan terus dan jangan fikir apa yang sudah pernah terjadi serta lebih kepada menghargai sesuatu yang ada sekarang.
“Antara pasangan juga mesti saling memaafkan dengan ikhlas dan lebih utama jangan membangkitkan perkara yang tidak perlu atau menyakitkan hati.
“Perlu diingat, setiap insan diduga dengan 1001 situasi, namun jangan cepat mengalah atau menyalahkan takdir,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut pelakon drama Cinta Belum Tamat Tempoh itu proses rakaman juga dipermudahkan apabila suaminya banyak memberikan tip hingga segala-gala urusan dalam studio berjalan lancar.
“Boleh dikatakan proses rakaman sangat mudah kerana Aliff yang menjadi peneman dari awal sehingga semuanya selesai.
“Lagu ini juga sangat ‘catchy’ dan seronok untuk dibawakan sekaligus memudahkan saya mendendangkannya tanpa sebarang tekanan.
“Biarpun kami tidak lari daripada berdepan cabaran terutama membabitkan pandangan berbeza, itu bukan masalah, sebaliknya perbezaan membuatkan hasilnya lebih baik.
“Inilah sebahagian daripada proses pembelajaran selain pengalaman bermakna buat saya dan Aliff. Teruja sebenarnya dapat masuk studio bersama-sama suami,” luahnya.
Sebelum ini wanita asal negeri Di Bawah Bayu itu pernah merakamkan single berjudul Tenang yang diterbitkan sekitar 2020.
Pada masa sama, Bella tidak ketinggalan meluahkan rasa syukur dan bertuah apabila dapat bekerjasama dengan ramai individu yang berbakat dan profesional.
“Sepanjang proses rakaman dan menyiapkan lagu ini, saya bersyukur kerana setiap individu yang terbabit sangat mudah untuk bekerjasama.
“Sudah pasti saya mahu Tetap Di Sini memenuhi selera pendengar dan diterima baik tambahan pula ini adalah lagu pertama saya yang menampilkan Aliff.
“Saya juga tidak sabar untuk mengetahui maklum balas ramai, selain terbuka menerima setiap komen yang membina untuk dijadikan rujukan pada masa akan datang,” katanya.
Mengenai video muzik (MV) lagu Tetap Di Sini, semuanya masih di peringkat perincian dan akan dihasilkan apabila semuanya sudah disempurnakan.
“Insya-Allah, video muzik memang ada tapi sebab masa kurang mengizinkan, kita sedang buat MV secepat mungkin. Kami enggan terburu-buru,” katanya lagi.
Lagu Tetap Di Sini boleh dilayari menerusi semua platform digital seperti Spotify, Apple music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music, manakala lirik video dapat ditonton di laman YouTube Universal Music Malaysia.
Terdahulu, rumahtangga Bella dan penyanyi Sayang Sayang itu yang dibina pada 9 September 2016 pernah diuji, namun ikatan perkahwinan mereka kembali bertaut.
Mahligai cinta mereka diserikan dua cahaya mata iaitu Muhammad Ayden Adrian, 5, dan Ara Adreanna yang kini berusia dua tahun.