NEGARA muflis! Satu anomali pastinya, lantaran peristiwa seperti ini sukar dan jarang sekali berlaku.
Bagaimanapun, seperti ungkapan klise, realiti pastinya lebih ganjil daripada fiksyen, inilah yang menimpa Sri Lanka, negara pulau membangun dan sederhana, jauh sekali tergolong sebagai miskin.
Lantas, bagaimana negara berpenduduk sekitar 22 juta orang dan berbilang agama tersebut boleh bankrap?
Ramuan utamanya ada beberapa dan dalam kes Sri Lanka, kitarannya tertumpu kepada salah urus ekonomi, rasuah dan favouritism, suka berhutang serta cukai tidak cekap.
Menyentuh soal rasuah dan favouritism, bintang utama tentunya bos nombor satu Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa. Beberapa dakwaan menyebut bahawa semasa era ‘kegemilangannya’ dari tahun 2010 hingga 2015, terdapat 40 ahli keluarga Rajapaksa dalam Kabinet Sri Lanka! Sekali gus pencapaian baharu untuk kronisme, termasuk seorang ahli keluarganya yang mendapat julukan ‘Mr.10 percent’.
Dikatakan juga bahawa 70 peratus daripada keseluruhan pinjaman atau hutang Sri Lanka dibuat semasa Rajapaksa berkuasa, namun sekarang, siapakah yang akan membayarnya? Anda tentu tahu jawapannya.
Menyentuh salah urus ekonomi pula, pakar-pakar bersetuju bahawa Sri Lanka terlalu bergantung kepada sektor pelancongan untuk mengisi kantung tukaran asingnya tanpa alternatif yang utuh.
Elemen ‘hanky panky’ dalam pentadbiran negara tidak begitu dihiraukan oleh rakyat jelata kerana ‘semuanya berjalan seperti biasa’ sehinggalah Sri Lanka menjadi sasaran siri pengeboman pada 2019.
Rentetan insiden yang menjadi tajuk utama akhbar dan media antarabangsa itu, sektor pelancongan Sri Lanka terjejas teruk.
Paku terakhir dalam keranda sektor pelancongan Sri Lanka adalah pandemik Covid-19.
Kini negara strategik kedudukannya itu tiada wang untuk membayar import utama iaitu makanan, ubat dan bahan api.
Mungkin penulis akan bercerita di lain kesempatan tentang baki ramuan yang perlu untuk menghasilkan negara muflis.
Apa yang akan berlaku kepada Sri Lanka seterusnya? Agak sukar untuk menjawab persoalan ini. Apa yang pasti adalah peristiwa Sri Lanka muflis tentunya terpatri sebagai antara sejarah hitam negara itu. -KOSMO! ONLINE