PETALING JAYA – Pertemuan empat mata di antara Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Yusuf Azmi bersama pemilik Crackhouse Comedy Club, Rizal yang sepatutnya diadakan pada petang ini terpaksa ditunda ke tarikh lain.
Yusuf menerusi hantaran di Facebooknya tadi memaklumkan penundaan tersebut disebabkan pemilik berkenaan perlu memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis berhubung isu pelawak wanita yang tular baru-baru ini.
“Pertemuan empat mata antara saya (mewakili Semboyan Malaysia) bersama pemilik premis ‘Crackhouse’ saudara Rizal yang sepatutnya diadakan petang ini terpaksa ditunda.
“Saya dihubungi saudara Rizal memohon penundaan tarikh atau hari bagi membuat permohonan maaf secara terbuka berikutan beliau perlu memberi kerjasama penuh kepada pihak polis terhadap dakwaan ke atasnya,” katanya.
Jelas Yusuf, pertemuan yang dirancang itu bertujuan menjernihkan isu yang hangat diperdebatkan orang ramai ketika ini apabila pelawak wanita tersebut dikatakan telah menghina agama Islam dengan tindakan membuka tudung dan pakaian sewaktu membuat persembahan.
“Mohon semua doakan agar segala urusan dipermudahkan dan semoga kita kuat untuk berjihad demi membela agama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE