KUALA LUMPUR – Empat persatuan menyerahkan satu memorandum hari ini memohon kerajaan mempertimbangkan perbezaan peraturan larangan penjualan dan penggunaan vape daripada rokok berikutan kesan yang akan dihadapi oleh industri berkenaan.
Memorandum tersebut diwakili empat persatuan terdiri daripada lebih 3,000 usahawan dalam sektor pembuatan, pengedaran dan peruncitan iaitu Malaysia Retail Electronic Cigarette Association (MRECA), Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Persatuan Peniaga Vape Melayu (PPVM), Malaysia E-Vaporizers dan Tobacco Alternative Association (MEVTA).
Presiden MRECA Datuk Adzwan Ab. Manas berkata, meskipun beberapa sesi libat urus telah diadakan bersama pihak Kementerian Kesihatan (KKM), namun suara pihak industri tidak diberikan pertimbangan yang sewajarnya.
Menurutnya, rokok dan vape adalah produk yang berbeza yang mana rokok diperbuat daripada daun tembakau melibatkan pembakaran yang mengeluarkan asap dari bahan-bahan toksik yang jelas berbahaya.
“Vape pula adalah produk pemanasan cecair bagi menghasilkan wap air terdiri daripada Vegetable Glycerin (VG), Propylene Glycol (PG), perisa dan nikotin. Pengguna dan pihak umum harus didedahkan dengan maklumat yang betul bahawa kemudaratan rokok dan vape adalah berbeza dan peraturannya juga harus berbeza,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden MEVTA Mohamad Neezam Talib berkata, cadangan untuk menyamakan rokok dan vape di mana KKM berhasrat untuk melaksanakan larangan jualan dan penggunaan vape untuk sesiapa yang dilahirkan selepas 2005 akan menjejaskan keseluruhan ekosistem industri vape.
“Cadangan ini akan memberikan kesan yang besar kepada usahawan tempatan dan akan membantutkan industri vape. Peraturan yang diperkenalkan sepatutnya mengambil kira potensi industri vape dalam mengambil alih industri rokok tembakau memandangkan semakin ramai perokok mula bertukar kepada vape sebagai alat berhenti merokok,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan memorandum Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan Kawalan Tembakau dan Merokok akan dibawa ke dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu ini.
Ia diperkenalkan bagi melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik (vape) terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005 atau dikenali sebagai Generational End Game. – KOSMO! ONLINE