KUALA LUMPUR – Gara- gara memeluk bekas rakan sekerjanya wanita dalam lif, seorang lelaki didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Fardiana Haryanti Razali menjatuhkan hukuman denda itu terhadap tertuduh yang berusia 31 tahun itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda berkenaan, dia boleh dipenjara selama sebulan dan tertuduh membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah melakukan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 30 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatannya dengan cara memeluk wanita itu.
Kesalahan itu dilakukan dalam lif aras 16 di sebuah pejabat di Brickfields, di sini, pukul 8.17 pagi pada 22 Jun lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu.
Terdahulu, Syama Sundar, yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda minimum kerana anak guam amat malu dan menyesal terhadap perbuatan dilakukan.
“Tertuduh kerja dalam bidang teknologi maklumat (IT) di sebuah syarikat swasta bersama wanita itu sebelum meletak jawatan selepas insiden berkenaan. Anak guam memeluk wanita itu dari hadapan seolah-olah macam tanda kemesraan. Namun, wanita itu membuat laporan polis kerana tidak suka dengan kelakukan tertuduh itu,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip, berkata hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh pengajaran.- KOSMO! ONLINE