KUALA TERENGGANU – Seorang remaja yang mendapat jolokan Mowgli Malaysia memberitahu, kesibukan sebagai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak menghalangnya membantu bapanya menguruskan lebih 70 ekor kerbau peliharaan mereka setiap hari.
Muhammad Syukur Khamis, 17, berkata, dia akan ke kandang bersama bapa, Khamis Jusoh, 66, pada sebelah petang sebaik pulang dari sekolah.
Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin itu berkata, dia tetap akan mengajak bapa menguruskan kerbau di kandang sekurang-kurangnya dua jam sehari.
“Itu yang saya lakukan walaupun lebih sibuk dengan pelajaran dan aktiviti di sekolah.
“Selepas habis waktu sekolah pada pukul 2 atau 4 petang, saya akan membahagikan masa agar dapat memberi kerbau makan dan memastikan mereka pulang ke kandang,” katanya ketika ditemui di Kampung Banggol Katong di sini baru-baru ini.
Muhammad Syukur, dia biasanya meluangkan lebih masa bersama kerbau-kerbau kesayangannya pada hujung minggu.
Begitu pun tambahnya, pelajaran tetap menjadi keutamaannya pada masa ini sebagai persediaan menduduki peperiksaan SPM.
Sementara itu Khamis berkata, sebanyak tiga ekor kerbau miliknya dibeli bagi tujuan ibadah korban bagi perayaan Aidiladha tahun ini.
Beliau berkata, dia tetap bersyukur berbanding cuma seekor kerbau berjaya dijual bagi ibadah sama pada tahun lalu dan setiap ekor dijual pada harga RM4,000 sehingga RM6,000.
“Penjagaan kerbau-kerbau ini tidak begitu rumit pada musim panas ketika ini berbanding musim hujan. Hanya perlu memantau pergerakan haiwan ternakan itu.
“Setiap pagi saya akan ke kandang memberi makan dan melihat kerbau sebelum Syukur datang membantu pada sebelah petang,” katanya. -KOSMO! ONLINE