KUALA LUMPUR – Maybank Singapore Ltd. menarik balik saman terhadap suami dan anak bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil atas dakwaan gagal membayar dua pinjaman perumahan berjumlah S$2.53 juta.
Saman itu menamakan Pengerusi National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFC), Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail dan dua anaknya, Wan Shahinur Izran serta Wan Izzana Fatimah Zabedah sebagai defendan-defendan.
Peguam Wan Mohammad Arfan Wan Othman yang mewakili defendan-defendan memberitahu, plaintif (Maybank Singapore Ltd.) tidak meneruskan saman itu selepas kedua-dua pihak mencapai penyelesaian.
“Satu perjanjian penyelesaian telah dilaksanakan bagi membolehkan defendan-defendan membayar wang pinjaman,” ujarnya selepas sesi pengurusan kes di hadapan Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad di sini.
Hari ini Mahkamah Tinggi sepatutnya mendengar permohonan plaintif untuk mendapatkan penghakiman terus saman berkenaan. Plaintif diwakili oleh peguam Tan Hui Rui.
Pada 2 Ogos 2021, Maybank Singapore Ltd. memfailkan saman tersebut selepas defendan-defendan gagal membayar dua pinjaman perumahan berjumlah S$2.53 juta.
Pernyataan tuntutan menyatakan, Maybank Singapore memohon penghakiman mahkamah bagi hutang berjumlah S$2.53 juta.
Plaintif mendakwa ketiga-tiga defendan telah gagal, tidak mempedulikan dan/atau cuai membayar jumlah dituntut, mengakibatkan bank itu mencari penyelesaian menerusi mahkamah di Malaysia.
Bagi pinjaman perumahan pertama, Maybank Singapore memberi pinjaman SGD4.37 juta pada 2009 kepada defendan-defendan untuk pembelian apartmen di Orchard Scotts.
Bagaimanapun, ketiga-tiga defendan gagal membuat bayaran bulanan S$7,225, dengan jumlah yang perlu dibayar setakat 22 Jun 2018 adalah sebanyak S$3.94 juta termasuk faedah.
Selepas defendan gagal membayar jumlah dituntut itu, Maybank Singapore menggunakan haknya untuk merampas seterusnya menjual hartanah itu menerusi bidaan dengan harga S$3.2 juta.
Bagaimanapun, nilai jualan itu tidak cukup untuk melunaskan jumlah penuh yang masih terhutang sebanyak S$1.37 juta.
Bagi pinjaman perumahan kedua pula, Maybank Singapore memberi pinjaman S$5.38 juta pada 2010 kepada Mohamad Salleh dan Wan Shahinur Izran untuk pembelian satu kondominium di Marina Bay.
Mereka didakwa gagal membuat bayaran bulan berjumlah S$8,700, dengan jumlah keseluruhan tunggakan setakat 4 Jun 2018 adalah sebanyak S$5.06 juta.
Maybank Singapore kemudian menggunakan haknya untuk merampas dan menjual hartanah itu dengan harga S$4.68 juta dengan baki hutang sebanyak S$1.16 juta. – KOSMO! ONLINE