fbpx

Majoriti dua pertiga beri laluan LDP rombak perlembagaan, perkasakan tentera Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kishida (dua dari kiri) menampal reben bunga pada nama calon LDP sebagai menandakan kemenangan parti itu. - AFP

TOKYO – Parti pemerintah Jepun dan sekutunya menang besar dalam pilihan raya Parlimen yang diadakan beberapa hari selepas bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe dibunuh, lapor media tempatan semalam.

Parti pemerintah yang  dianggotai  Abe iaitu Parti Liberal Demokratik (LDP) serta sekutunya, Komeito mengukuhkan kedudukan mereka dengan memperoleh kemenangan majo­riti dua pertiga. LDP dan Komeito menang lebih 75 daripada 125 kerusi dewan tinggi Parlimen.

Kemenangan majoriti  itu membolehkan kerajaan campuran LDP merombak perlembagaan negara termasuk mengukuh­kan peranan tentera Jepun di peringkat global yang sebelum ini menjadi matlamat Abe.

Di bawah perlembagaan yang digubal pada 1947 susulan kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua, Tokyo tidak dibenarkan terbabit atau menghulurkan bantuan dalam mana-mana peperangan, manakala pengukuhan dan pembesaran pasukan tentera negara itu juga dilarang.

Sebelum pembunuhan Abe sekali pun,  LDP dan Komeito dijangka mendapat kemenangan dalam pilihan raya berkenaan, namun kematian beliau me­ngukuhkan lagi sokongan rakyat kepada gabungan tersebut.

“Adalah penting bagi kita mengadakan  pilihan raya ini,” kata Perdana Menteri, Fumio Kishida kepada stesen penyiaran NHK sambil menambah, beliau mahu menangani isu pandemik, krisis Ukraine dan isu berkaitan serta masalah inflasi.

Kishida bertegas bahawa pilihan raya itu perlu diteruskan di sebalik pembunuh Abe dengan berkata: “Kita tidak boleh membenarkan keganasan menutup kebebasan bersuara,”.

Dalam pada itu,  Kenta Izumi yang merupakan ketua parti pembangkang, Parti Perlembagaan Demokrasi mengaku kalah dan memberitahu: “Pengundi tidak mahu menukarkan LDP dan memberikan kepercayaan kepada kami untuk menubuhkan  kerajaan baharu,” demikian me­nurut agensi berita Kyodo.

Di sebalik pembunuhan Abe, peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya kelmarin kekal  rendah iaitu cuma 52 peratus.

Abe ditembak pada jarak dekat Jumaat lalu di wilayah Nara, barat Jepun. Beliau me­ninggal dunia akibat kehilangan darah di sebuah hospital tempatan. Jasad Abe dibawa ke rumah keluarganya di Tokyo Sabtu lalu.

Lelaki yang dituduh berhubung pembunuhannya iaitu Tetsuya Yamagami, 41, kini ditahan dan memberitahu polis bahawa dia menyasarkan Abe kerana percaya ahli politik itu mempunyai kaitan dengan sebuah pertubuhan yang tidak dinamakan.

Menurut media tempatan, pertubuhan tersebut bersifat keagamaan, manakala keluarga Yamagami mengalami masalah kewangan kerana derma ibunya kepada  kumpulan itu. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI