SEBERANG PERAI – Menyalahgunakan lesen borong barang kawalan yang dimiliki untuk mendapatkan bekalan minyak masak sebelum menyeleweng barang tersebut dan mengedarkannya untuk kegunaan industri.
Itu antara taktik seorang pemborong minyak masak yang berjaya dikesan sekumpulan penguat kuasa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang hasil risikan yang dilakukan selama lima hari, baru-baru ini.
Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Pulau Pinang, A. Mogan, satu serbuan telah dilakukan terhadap sebuah lori yang membawa minyak masak dan kediaman yang dipercayai digunakan untuk menyimpan barang kawalan tersebut di Taman Seri Murni, Butterworth petang tadi.
Katanya, ketika serbuan dilakukan, seorang lelaki dipercayai berusia dalam lingkungan 50-an sedang leka memotong minyak masak bersubsidi dalam paket sebelum memindahkannya ke dalam tong industri.
“Pemeriksaan yang dilakukan terhadap lori itu menjumpai sebanyak 272 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi dalam paket dan kira-kira 952 kg minyak masak sama yang telah dimasukkan ke dalam tong industri.
“Pemeriksaan lanjut di rumah terbabit kemudian menjumpai kira-kira 340 kg minyak masak bersubsidi yang disimpan di suatu ruangan di rumah berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan hari ini.
Ujar beliau, hasil siasatan mendapati, sebahagian daripada minyak masak itu dipek dan diadun semula menjadi minyak khas untuk tujuan sembahyang dan dijual di pasaran pada harga antara RM6 hingga RM8 sekilogram manakala selebihnya dijual semula kepada industri.
“Jelas di sini bahawa individu ini (pemborong berkenaan) cuba meraih untung berlipat kali ganda dengan menyalahgunakan lesen borong barang kawalan yang dimilikinya,” kata Mogan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, susulan serbuan itu juga, lelaki warga tempatan ditahan dan menyita 1,564 kg minyak masak beserta lori yang digunakan dengan nilai rampasan serta sitaan berjumlah RM108,900. – KOSMO! ONLINE