PETALING JAYA – “Saya alami selesema teruk, rongga hidung rasa sakit, pedih dan sepanjang hari hanya terbaring tidur tidak larat badan.”
Demikian ujar Zanariah Alias, 39, berkongsi kisahnya menghidap demam influenza yang disifatkan lebih teruk berbanding dijangkiti Covid-19 sebelum ini.
Guru sebuah sekolah rendah di Shah Alam itu berkata, dia mengalami selesema teruk pada 26 Jun lalu iaitu sehari selepas anaknya berusia setahun dua bulan dimasukkan ke wad hospital swasta kerana demam.
“Kemudian saya terus ke bahagian kecemasan dan doktor sahkan ia influenza. Bermacam ubat doktor beri kepada saya termasuk parasetamol namun tidak sampai empat jam, badan saya menggigil sejuk dan suhu juga mencecah 39 darjah Celsius.
“Selain itu, kepala saya sakit berdenyut dan badan sejuk sedangkan pendingin hawa di wad sudah ditutup. Badan rasa lesu, penat dan tidur sepanjang hari selain sukar untuk makan kerana tiada selera,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Zanariah yang juga ibu kepada lima anak berkata, seorang lagi anaknya berusia 10 tahun turut dimasukkan ke wad kerana influenza, manakala suaminya juga disahkan demam dan mengasingkan diri di rumah.
“Hanya anak sulung berusia 12 tahun yang sihat dan tidak mengalami demam. Dua anak saya lagi bersama suami juga demam, tetapi tidak dimasukkan ke wad, jadi hanya dua anak lagi dan saya berada di wad sehingga lima hari,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia bercerita pernah dijangkiti Covid-19 pada 1 April lalu, namun gejala dialami tidak teruk seperti demam influenza.
“Ketika itu, saya hanya mengalami selesema biasa selama dua hari dan lesu badan.
“Boleh dikatakan demam influenza ini lebih teruk dan sewaktu saya ke hospital, doktor memaklumkan wad telah penuh kerana jumlah pesakit Covid-19, influenza dan denggi. Itu adalah hospital swasta dan bayangkan pula di hospital kerajaan.
“Hospital kerajaan yang terdekat dengan rumah adalah Hospital Shah Alam dan kami mengambil keputusan untuk pergi ke hospital swasta kerana tidak mahu menunggu lama,” katanya.
Ujarnya, secara purata bayaran untuk kemasukan wad dan ubat dua anaknya kira-kira RM8,800, manakala dia dikenakan caj ubat-ubatan antara RM200 hingga RM300 dengan semuanya di bawah tanggungan majikan tempat kerja suaminya.
“Alhamdulillah ada rezeki tersebut dan jika tidak, mana kami mahu cari duit untuk membayarnya. Sekiranya ke fasiliti kerajaan, mungkin lambat sikit sebab perlu tunggu giliran atau diberi ubat serta kuarantin di rumah.
“Bagaimanapun saya bimbang sebab ada anak kecil dan suhu badan mereka juga tinggi, jadi saya fikir perlu pemantauan doktor di hospital melihat keadaan anak,” katanya. -KOSMO! ONLINE