fbpx

Hilang rezeki angkara radang sendi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JAMILAH (kanan) ketika menerima kunjungan Dr. Adham dan Faridah Hamzah (kiri) di rumahnya di Kampung Sungai Telor, Kota Tinggi baru-baru ini.

KOTA TINGGI – Seorang wanita dari Kampung Sungai Telor di sini terpaksa mengharapkan ihsan adik-beradiknya untuk meneruskan kehidupan selepas hilang punca pendapatan akibat tangan kirinya mengalami masalah radang sendi.

Jamilah Kutti Hassan, 52, berkata, sejak kematian suami­nya, dia yang tidak mempunyai cahaya mata kini hanya tinggal berseorangan di sebuah bilik yang disediakan di belakang warung milik abangnya.

“Ketika suami masih ada, kami menyewa rumah di Kulai tetapi sejak kematiannya, saya tidak mampu untuk membayar sewa sehingga adik-beradik sepakat binakan bilik di belakang warung abang.

“Abang bersama isteri berniaga di warung tersebut. Jadi untuk dapatkan wang sendiri, saya tumpang jual nasi lemak dan dapatlah jual dalam 20 hingga 30 bungkus sehari.

“Bagaimanapun, sejak alami radang sendi, saya sudah tidak mampu untuk buat nasi lemak,” katanya ketika ditemui ketika menerima sumbangan dari badan bukan kerjaaan (NGO) Permata Baiduri Malaysia yang di­serahkan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Adham Baba baru-baru ini.

Jamilah berkata, penyakit yang dialami sejak setahun lalu itu menyebabkan dia tidak boleh mengangkat barang berat.

Katanya, dia juga terpaksa memakai anduh kerana tangannya tidak boleh ditegakkan untuk tempoh yang lama.

“Ekoran tidak dapat menjual nasi lemak, saya juga terpaksa bergantung sepenuhnya pada sumbangan bulanan dari Baitulmal yang diterima sebanyak RM300.

“Tangan kiri saya tidak boleh angkat benda yang berat walaupun hanya sebiji cawan.

“Apapun, adik-beradik banyak membantu. Abang yang tinggal di sebelah rumah selalu menghantar makanan untuk saya. Namun, saya tidak mahu menyusahkan mereka kerana mereka juga ada komitmen dan bukanlah orang senang sangat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Permata Baiduri Malaysia, Faridah Hamzah berkata, NGO tersebut dalam misi bulanan menyampaikan sumbangan barang ke­perluan di mana bantuan di­sasarkan daripada permohonan orang ramai dan maklumat dari orang perseorangan.

Katanya, sejak pandemik Co­vid-19 sehingga kini, seramai 3,000 penerima telah menerima bantuan yang disediakan.

“Bantuan diberikan dalam bentuk barangan berupa beras 10 kilogram, minyak masak 3 kilogram juga lain-lain keperluan barang dapur,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai yang mahu membantu meringankan beban yang dilalui Jamilah Kutti boleh menyumbang terus ke akaun Bank Rakyat 220331260435. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI