fbpx

Hentikan segera krisis sepak takraw

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MUHAMMAD RIDUAN MOHD. HANAFIAH
WARTAWAN EKSEKUTIF

KEMELUT sukan sepak takraw di negara ini dilihat masih tiada penghujung selepas persatuan yang diberi amanah untuk memperjuangkan sukan warisan itu terus bercakaran.

Peminat sukan sepak takraw negara seakan-akan sudah muak dengan ‘sandiwara’ yang berlaku terutama perihal penubuhan badan induk sukan tersebut yang kini berlanjutan cukup lama.

Yang menjadi kerisauan ketika ini sekiranya masalah penubuhan persatuan sukan sepak takraw tidak dapat diselesaikan dan terus bergaduh, ia sekali gus merencatkan pembangunan dan perkembangan sukan sepak takraw negara ini.

Lebih menakutkan, kemungkinan sukan sepak takraw bakal kehilangan pelapis apabila tiada lagi sokongan ibu bapa untuk menghantar anak mereka mencemburi sukan itu pada masa akan datang.

Bekas perejam kebangsaan, Mohd. Futra Abd. Ghani berharap kedua-dua persatuan iaitu Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (Mastaf) dapat duduk semeja menyelesaikan masalah itu.

“Untuk menyelesaikan masalah ini daripada terus berlanjutan, individu terbabit perlu merendahkan ego masing-ma­sing dan duduk semeja.

“Sampai bila orang di bawah seperti jurulatih, atlet mahupun pengadil akan tersepit kerana masalah ini.

“Sebagai bekas pemain dan juga jurulatih, saya tidak memihak kepada mana-mana individu.

“Perlu diingat, negara jiran sudah melakukan persiapan untuk membina pasukan terbaik menjelang Sukan SEA Kemboja. Di manakah persiapan dan hala tuju kita ketika ini.

“Itu yang menjadi kerisauan kepada kami selaku jurulatih di peringkat negeri-negeri ini.

“Jika masalah ini berterusan saya takut satu hari nanti Malaysia kemungkinan tiada lagi pemain muda berminat terhadap sukan ini,” katanya.

Penganalis sukan tempatan, Dr. Pekan Ramli berpendapat agar Persatuan Sepak Takraw Asia (Astaf) lebih profesional menyelesaikan perkara ini.

Tegas Pekan, masalah badan induk itu dapat diselesaikan sekiranya Astaf memainkan pe­ranan yang tepat dan pertemuan tiga mata perlu dibuat segera terutama penglibatan Astaf, Mastaf dan PSM untuk menamatkan segala kemelut yang melanda demi pembangunan sukan sepak takraw.

“Bagi saya, Astaf seharus­nya memainkan peranan penting untuk melihat secara keseluruhannya dengan cara mendamaikan kedua-dua pihak.

“Astaf perlu menjadi orang tengah untuk melakukan perbincangan semula dengan dua persatuan itu. Jika satu keputusan dicapai, Astaf juga perlu me­nerima segala keputusan itu demi kemajuan sukan sepak takraw di Malaysia.

“Astaf perlu ingat, PSM masih diiktiraf di Malaysia dan Mastaf pula diiktiraf di peringkat antarabangsa. Jadi kedua-dua persa­tuan ini perlu berfikir ke hadapan demi masa depan sukan ini.

“Justeru, sudah-sudahlah bercakaran kerana misi utama adalah sukan itu sendiri.

“Tolak ego masing-masing dan beri kata putus dengan segera,” ujarnya.

Untuk rekod, Mastaf kini diiktiraf oleh Persatuan Sepak Takraw Asia (Astaf) dan juga Persekutuan Sepak Takraw Dunia (Istaf) untuk mengambil alih peranan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

PSM yang ditendang keluar oleh Astaf masih diiktiraf di Malaysia, namun bukan lagi badan pengelola atau badan perwakilan sukan sepak takraw di Malaysia. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI