fbpx

Banjir Baling: Pantau kawasan tragedi kepala air ekoran hujan berterusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan banjir yang berlaku di Baling baru-baru ini.

BALING – Pihak berkuasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan memantau kawasan berisiko banjir termasuk lokasi tragedi kepala air di Kampung Iboi dan Lata Celak di sini berikutan cuaca hujan sejak malam semalam.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, semua agensi termasuk polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sentiasa memantau situasi di setiap lokasi berisiko.

“Kita akan pantau semua kawasan terutama di Lata Celak yang menjadi lokasi tragedi kepala air baru-baru ini.

“Sehingga pukul 11 pagi tadi, aliran sungai dalam keadaan normal yang mana tidak berlaku kenaikan air (paras sungai) mahupun kelajuan air yang terkesan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Baling di sini hari ini.

Katanya, pemantauan akan terus dilakukan memandangkan hujan masih berlaku sehingga petang ini.

“Sekiranya terdapat keperluan kepada penduduk untuk berpindah ketika cuaca buruk, pegawai daerah akan keluarkan arahan tersebut. Penduduk yang tinggal di tepi sungai akan jadi keutamaan,” ujarnya.

Tambahnya, kebanyakan mangsa kepala air dan banjir lumpur yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) telah pulang ke rumah masing-masing.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Baling, Mohd. Shahadan Abdullah yang juga Pegawai Daerah Baling berkata, satu pasukan petugas khas diwujudkan bagi membuat bancian untuk mendapatkan jumlah tepat mangsa yang terjejas dan kerugian terlibat.

“Pasukan itu terdiri daripada kakitangan pejabat daerah, Majlis Daerah Baling, APM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang mana bancian ini dijangka mengambil masa selama dua hari untuk disiapkan,” katanya.

Kata beliau, setakat ini sebanyak 1,228 laporan polis diterima berhubung kerosakan rumah akibat tragedi berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI