fbpx

Agong berkenan menerima kunjungan hormat Menteri Luar China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap dan kunjungan hormat Menteri Luar China, Wang Yi di Istana Negara.

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap dan kunjungan hormat Menteri Luar China, Wang Yi di Istana Negara hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, majlis tersebut julung kali buat Wang Yi yang kini dalam rangka lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia bermula 11 Julai.

“Dalam sesi selama 45 minit bermula pukul 11.45 pagi tadi, Seri Paduka Baginda dan Wang Yi menyentuh berkenaan hubungan dua hala yang erat terjalin antara Malaysia dan China sejak tahun 1974.

“Kedua-dua pemimpin turut menyentuh usaha pengukuhan perdagangan dan ekonomi antara kedua-dua negara ke tahap lebih tinggi susulan peningkatan jalinan hubungan Malaysia-China ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2013. Kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-10 perkongsian ini tahun depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan dan rasa sukacita terhadap hubungan erat Malaysia dan China yang telah terjalin secara istimewa di dalam pelbagai aspek.

Katanya, ini termasuk bantuan yang telah dihulurkan oleh Kerajaan China dan kerjasama di antara kedua-dua negara dalam memerangi penularan wabak Covid-19 serta pemulihan pasca pandemik.

“Baginda menzahirkan penghargaan kepada Wang Yi atas persilaan kepada Seri Paduka untuk mengadakan lawatan rasmi ke China.

“Selain itu, Seri Paduka Baginda juga berkenan mempersilakan Presiden China, Xi Jinping untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia. Kali terakhir beliau melawat negara ini ialah pada tahun 2013,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI